Hina ulama: MB Perak wajar gugur Exco biadab

- Advertisement -

IPOH: Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad didesak agar mengambil tindakan tegas termasuk menggugurkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bertindak biadab memuat naik karikatur menghina Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.

- Advertisement -

​Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) berkata, tindakan wakil rakyat DAP dari kawasan Pasir Bedamar itu menyentuh sensitiviti dan menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju pembangunan modal insan yang dibawa kerajaan negeri.

​Tegasnya, perbuatan ‘jelek’ tersebut tidak sewajarnya lahir daripada seorang pemimpin kanan kerajaan negeri yang sepatutnya menunjukkan teladan baik.

​“Ke manakah sebenarnya hala tuju pembangunan modal insan negeri? Kesejahteraan bagaimana yang ingin dipandu oleh pihak kerajaan? Adakah ini yang dimaksudkan politik sejahtera versi DAP?

​“Saya ingin tegaskan, tindakan ini bukan sahaja menimbulkan rasa pelik dan jelek dalam kalangan kami penyokong PAS dan BERSATU, bahkan rakan-rakan di peringkat akar umbi Umno pun menyatakan rasa tidak selesa dan malu,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak, di sini semala,.

Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) bangun mencelah dan mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama Exco berkenaan mencetuskan kontroversi.

​Menurut Khalil, selain menghina ulama yang berusia hampir 80 tahun itu, Exco terbabit sebelum ini pernah memuat naik karikatur menyindir Ketua Pembangkang serta terpalit dengan isu berkempen di dalam sekolah.

​“Sikap seorang yang berada di kerusi Exco tidak sepatutnya berjiwa seperti itu. Dalam keadaan kita mahu berpolitik matang dan sejahtera serta PMX (Perdana Menteri) berpesan supaya berpolitik secara elok, tetapi ada seorang manusia yang bersikap begini.

​“Saya rasa perbuatan memuat naik karikatur seorang insan (ulama) yang sudah lanjut usia adalah cukup mendukacitakan,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak.

​Muhammad Hakimi bersetuju bahawa demi menjaga imej dan maruah pentadbiran Kerajaan Negeri Perak, individu yang mempunyai sikap sedemikian tidak layak berada dalam barisan kepimpinan utama.

​“Jika imej dan maruah pentadbiran negeri hendak dijaga, sikap begini perlu dibuang. Bukan hanya sikap, orang-orangnya pun patut kita buang.

​“Saya menasihatkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, demi menjaga maruah pentadbiran negeri, insan dan sifat sedemikian tidak wajar diletakkan di barisan hadapan,” tegasnya lagi.

​Beliau turut mengingatkan bahawa bajet negeri bukan sekadar angka, tetapi cerminan keutamaan kerajaan termasuk dalam soal integriti kepimpinan bagi memastikan Perak bergerak ke arah yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 27/11/2025

- Advertisement -