Mesyuarat Kaukus Parlimen tarif AS terlewat, namun tetap disambut baik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyambut baik langkah mengadakan Mesyuarat Kaukus Parlimen mengenai pengenaan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung esok, 27 November 2025.

- Advertisement -

​Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, walaupun mesyuarat tersebut diadakan agak terlewat iaitu genap sebulan selepas Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS ditandatangani, ia tetap satu perkembangan yang positif.

​Menurutnya, Kaukus Parlimen tersebut sebenarnya telah ditubuhkan pada 5 Mei 2025 menerusi Sidang Khas Dewan Rakyat bertujuan menjadi platform dwi-partisan untuk libat urus dan memberi input kepada kerajaan dalam merangka strategi negara.

​“Untuk rekod, kaukus ini tidak pernah dipanggil bermesyuarat sehinggalah selepas perjanjian tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald J Trump pada 26 Ogos lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.

​“Sebagai perbandingan, Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah ditubuhkan di bawah pentadbiran terdahulu dan bermesyuarat beberapa kali sebelum RUU tersebut dibentangkan, amalan ini wajar menjadi contoh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

​Wakil PN yang menganggotai kaukus berkenaan terdiri daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Syahir sendiri.

​Justeru, pihaknya berharap mesyuarat esok akan menjadi platform terbaik untuk membincangkan kesan tarif dan implikasi keseluruhan perjanjian tersebut serta memantau perkembangan dasar perdagangan AS dan ekonomi antarabangsa.

​Selain itu ujarnya, ia juga penting bagi mencadangkan inisiatif yang bersesuaian demi melindungi sektor eksport serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.

​“Dalam hal ini, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional kekal komited menjalankan fungsi ‘semak dan imbang’ secara objektif dan bertanggungjawab demi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/11/2025

- Advertisement -