
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa agar menyantuni dan membela nasib penduduk yang terpaksa berpindah bagi memberi laluan kepada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan Paya Jaras.
Dato’ Dr Ab Halim Tamuri (PN-Paya Jaras) berkata, walaupun penduduk tersebut menduduki tanah rizab sungai, namun faktor kemanusiaan perlu diambil kira memandangkan sebahagian besar mereka telah menetap di situ sejak 30 hingga 40 tahun lalu.
Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 bagi peruntukan pembangunan di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Merujuk kepada projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan Fasa 2 Sungai Kedondong, Ab Halim meminta penjelasan sama ada sesi libat urus telah dijalankan oleh pihak JPS atau Pejabat Daerah bersama penduduk terlibat.
”Saya faham kawasan itu adalah rizab sungai, mungkin mustahil untuk beri pampasan penuh tanah. Tetapi adakah sedikit saguhati atau ‘extra cash’ yang diberikan kepada penduduk? Kerana mereka perlu pindah dan mencari tempat baharu.
”Adakah mereka berpeluang untuk mendapatkan Rumah Selangorku sama ada untuk dibeli atau disewa menerusi Skim Sewa untuk Dimiliki (Rent-to-Own)?
”Jangan biarkan berlaku implikasi sosial yang buruk. Kita faham keperluan membangunkan tebatan banjir, tapi kita juga perlu memikirkan nasib rakyat warganegara Malaysia yang telah lama menetap di situ,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyegerakan projek menaik taraf jambatan di Jalan Kubu Gajah, Sungai Buloh.
Jelasnya, kelewatan projek tersebut menimbulkan kebimbangan penduduk kerana struktur jambatan sedia ada menjadi ‘bottleneck’ atau punca air tersekat memandangkan kerja-kerja pelebaran sungai (RTB Sungai Subang) di sekitarnya sedang berjalan.
”Kawasan sungai sudah besar macam tasik, tetapi bila sampai di jambatan itu ia menguncup (mengecil). Kebimbangan hari ini ialah jika air deras, ia boleh memecahkan jalan dan menyebabkan banjir lebih teruk atau kerosakan struktur jambatan.
“Saya mohon penjelasan bilakah projek ini akan dijalankan sepenuhnya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











