Projek kecil KPKT terima peruntukan 63 kali ganda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Noor (PN-Temerloh) menuntut penjelasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung lonjakan luar biasa peruntukan bagi projek kecil di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang meningkat sehingga 63 kali ganda dalam Belanjawan 2026.

​Beliau mempersoalkan kewajaran kenaikan mendadak itu yang mencecah hampir setengah bilion ringgit, serta apakah jaminan kerajaan agar dana tersebut tidak disalah guna atau berlaku ketirisan.

- Advertisement -

​”Adakah projek kecil yang terlibat menggunakan hampir setengah bilion ringgit ini melibatkan projek MyKiosk? Program MyKiosk ini baik dari segi niat, tetapi lemah dari segi pelaksanaan, pengurusan dan pemantauannya.

“Temerloh mohon penjelasan langkah pembaikan agar program ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan B40 dan penjaja kecil,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, hari ini.

​Salamiah turut meluahkan kebimbangan mengenai kegagalan kajian kebolehlaksanaan sebelum projek MyKiosk dilaksanakan, menyebabkan banyak kios kini kosong dan terbiar.

​”Berapa banyak kiosk yang masih kosong di daerah Temerloh dan seluruh negara? Kios terbiar adalah satu pembaziran pembangunan fizikal dari peruntukan kerajaan dan satu penyelewengan bajet.

​”Adakah pemilihan penyewa benar-benar memastikan golongan sasaran mendapat manfaat atau terdapat unsur kronisme?” soalnya turut mendesak satu garis panduan selaras diwujudkan bagi pengurusan sewaan di semua PBT.

​Dalam perkembangan berkaitan, Salamiah mendedahkan aduan serius mengenai campur tangan politik dalam pengurusan kutipan yuran perniagaan di Mentakab.

​Menurutnya, di Lorong Cahaya, Mentakab, yuran perniagaan dikutip oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberi kuasa oleh parti politik, bukannya dikutip oleh PBT.

​”Adakah ini selaras di seluruh negara? Adakah KPKT memantau pelaksanaan ini? Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan tata kelola,” tegasnya.

​Beliau turut menyentuh mengenai kenaikan peruntukan pembangunan Kampung Baru sebanyak 16.9 peratus, sambil mempersoalkan mengapa dana disalurkan terus kepada Pegawai Pembangunan Kampung Baru (RM100,000) dan tidak melalui PBT.

​”Adakah peruntukan ini disusun dengan objektif politik tertentu? Sebahagian besar Kampung Baru sudah memiliki kemudahan asas, jadi adakah terdapat projek mega baharu yang dirancang?” soalnya.

​Menyentuh isu perkhidmatan PBT, Salamiah menyelar kenaikan peruntukan kerajaan tempatan sebanyak hampir 7 peratus yang tidak seiring dengan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

​Jelasnya, isu asas seperti jalan berlubang, pungutan sampah tidak konsisten dan aduan rakyat yang tidak diambil tindakan masih gagal diselesaikan.

​”Rakyat mengadu cukai pintu semakin tinggi, tetapi kemudahan tidak memuaskan. Tong sampah dikongsi sehingga melimpah, malah perkhidmatan menebang pokok di tepi jalan perumahan dikenakan bayaran, sedangkan tiada lampu jalan di laluan utama.

​”Mengapa KPKT tidak menyeragamkan sistem parkir dan saman yang berbeza antara bandar? Adakah syarikat yang melaksanakan sistem parkir ini dipilih secara tender terbuka atau mengikut kroni?” ujarnya lagi.

​Beliau turut mendesak KPKT menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas bagi peruntukan persekitaran bandar mampan dan pembasmian kemiskinan bandar.

Jelasnya, ia bagi memastikan dana besar yang diluluskan benar-benar menyelesaikan masalah rakyat, khususnya isu banjir kilat dan miskin tegar. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -