Banjir kerana pemaju tak patuh syarat MBSP

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Amir Hamzah Abdul Hashim (PN–Permatang Pasir) mengutarakan rungutan dan keresahan rakyat dalam isu banjir yang berulang saban tahun.

Menurut beliau, masalah banjir di Kampung Kolam dan Tanjung Putus masih berlarutan terutama ketika hujan lebat dan fenomena air pasang tinggi.

- Advertisement -

Justeru, beliau mencadangkan agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menaikkan aras tebing sungai bagi menghalang limpahan air ke kawasan kampung.

“Sungai di kawasan tersebut juga dipenuhi tumbuhan dan perlu dibersihkan segera sebelum tiba peralihan monsun,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2026 negeri, di sini semalam.

Beliau turut menambah, banjir kilat di Kampung Permatang Tengah khususnya di kawasan belakang Masjid Permatang Janggus perlu ditangani melalui pembersihan parit secara gotong-royong bersama pihak berkuasa.

Dalam masa sama, Amir Hamzah merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat menguruskan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Permatang Pasir melibatkan 11 keluarga seramai 44 orang.

Namun beliau menarik perhatian Dewan apabila mendedahkan rungutan bahawa ada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke PPS akibat masalah kesihatan kronik tetapi dinafikan bantuan oleh pihak kerajaan.

“Saya memohon agar prosedur ini dikaji semula demi memberi keadilan kepada semua,” katanya.

Amir Hamzah turut menyentuh isu banjir lumpur serius yang berlaku di Taman Guar Perahu berhadapan kediamannya, berpunca daripada projek taman perumahan baharu di atas bukit dibangunkan oleh Kencana Buana Sdn Bhd.

“Ini kejadian ketiga, tetapi banjir kali ketiga ini paling buruk kerana membawa lumpur dan menjejaskan 50 buah rumah. Saya tinggal lebih 25 tahun di situ, tidak pernah berlaku banjir sebelum projek ini,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa banjir tersebut bukan bencana alam, tetapi akibat kegagalan kontraktor mematuhi syarat MBSP walaupun telah beberapa kali berlaku kejadian banjir sebelum ini.

Lebih mengecewakan, pampasan yang diberikan hanya RM500 yang disifatkan tidak memadai, sementara pembinaan tembok tanpa mematuhi ‘reserve parit’ didakwa membahayakan penduduk.

Tambahnya, penduduk kesal apabila Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai tidak mahu bertemu dengan Jawatankuasa Penduduk.

“Penduduk memohon agar pemaju, MBSP dan Datuk Bandar mengambil tanggungjawab dan memastikan perkara yang sama tidak berulang,” ujarnya.

Mengulas mengenai prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Amir Hamzah merujuk laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun 2022 yang mendedahkan 919 aduan diterima di Pulau Pinang.

Kata Amir, ianya termasuk 312 kes penerimaan suapan, 147 salah guna kuasa dan selebihnya tuntutan palsu, seperti dilaporkan _Harian Metro_ pada 29 September 2022.

Pada tahun 2023 pula jelasnya, sebanyak 60 tangkapan direkodkan berbanding 28 tangkapan sebelum itu.

“Gejala rasuah ini merugikan negara dan menjejaskan kedudukan global kita. Saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri, berapakah jumlah kakitangan awam yang telah diambil tindakan di negeri Pulau Pinang sepanjang 2020 hingga 2025 akibat rasuah?

“Dan apakah perancangan kerajaan negeri bagi memastikan slogan CAT benar-benar dipatuhi?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 19/11/2025

- Advertisement -