
PUTRAJAYA: Pengerusi Gabungan NGO Kedah Untuk Kemakmuran Islam (GERAHAM), Ustaz Noor Hakimi Abdul Halim menegaskan bahawa DAP perlu dibatalkan pendaftarannya dan dihapuskan terus daripada arena politik negara.
Beliau berkata, prestasi menteri daripada parti itu menunjukkan mereka tidak layak memimpin dan tidak menunjukkan ciri-ciri amanah, bersih serta berwibawa.
“Sekarang ni DAP pun dah jadi menteri. Kita sangka macam mana menteri-menteri mereka ni, tapi bila tengok di Parlimen, mereka tidaklah secekap mana, tidaklah seamanah mana dan tidaklah sebersih mana.
“Itu prestasi yang kita nampak di Parlimen dan dalam pentadbiran. Jadi sudah sampai ke kemuncaknya mereka perlu dibatalkan dan ditanam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai penyerahan memorandum bantahan terhadap kelulusan perlembagaan DAP kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di sini baru-baru ini.
Ustaz Noor Hakimi turut menegaskan bahawa DAP sering mencampur aduk dalam isu-isu berkaitan Islam serta dilihat menggugat keharmonian dan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Mereka selalu mencampur aduk dalam isu-isu Islam. Mereka selalu mengganggu-gugat. Jadi saya harapkan kita sebagai individu, persatuan, NGO dan semua rakyat Malaysia.
“Tak kira bangsa dan agama, yang melihat perkara ini, berilah sokongan daripada kapasiti apa yang kita ada untuk memastikan ini permulaan,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan yang diambil hari ini akan menjadi sejarah penting dalam usaha mempertahankan kedaulatan Islam dan kestabilan negara.
“Ini sejarah kita terungkit. Ini permulaan, dan kita akan pastikan pengakhirannya kita mencapai bahawa DAP ini ditanam, dikuburkan dan tidak lagi wujud di tanah air kita,” katanya. — HARAKAHDAILY 18/11/2025











