
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa pengakuan terbaru Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung usaha kerajaan untuk menyemak semula Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat membuktikan bahawa kerajaan sememangnya bertindak secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sejak awal.
Perkara itu timbul selepas Menteri MITI mengesahkan dalam episod 178 audio siar Keluar Sekejap bahawa kerajaan sedang meneliti semula sekurang-kurangnya satu klausa dalam ART yang didakwa menjejaskan kedaulatan negara.
Penjelasan itu hadir selepas Khairy Jamaluddin membandingkan Klausa 5.1 dalam ART Malaysia dengan perjanjian Kemboja yang mengandungi perlindungan jelas terhadap kedaulatan negara tersebut.
“Sejujurnya, kami sedang mencuba. Ia belum ‘ratify’ lagi. Kita sedang dalam proses sekarang,” kata Tengku Zafrul, sambil menambah bahawa proses pindaan boleh mengambil masa sehingga 60 hari selepas semua aspek perundangan dimuktamadkan.
Mengulas perkara itu, Ahmad Fadhli berkata pengakuan tersebut hanya mengesahkan apa yang dibangkitkan berulang kali oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional, iaitu bahawa ART ditandatangani tanpa penelitian mendalam dan tanpa mempertimbangkan implikasi terhadap dasar strategik negara.
“Setelah ahli-ahli Parlimen PN dikecam kononnya mempertikai usaha penjawat awam, dan setelah pelbagai pihak menyatakan bahawa perjanjian ini berat sebelah, akhirnya kerajaan sendiri mengakui memang ada klausa yang menjejaskan kedaulatan negara,” katanya.
Menurut beliau, cara kerajaan menguruskan perjanjian itu menyerlahkan kelemahan kepimpinan sedia ada.
“Sebab itu kami katakan ART ini adalah perjanjian jual negara. Sign dulu, fikir kemudian. Inilah jualan akhir tahun terbesar dalam sejarah, dan dilakukan sendiri oleh pemimpin negara,” tegasnya lagi.
Beliau menegaskan, perkembangan itu membuktikan kerajaan hari ini wajar digelar sebagai kerajaan kelam-kabut. – HARAKAHDAILY 17/11/2025











