
TERENGGANU secara tampang cerahnya adalah negeri orang beragama dengan ribuan asatizah, bahkan dengan sejarah emas leluhur ulama negeri ini. Negeri paling bahagia yang diabsahkan dengan kajian yang empiris. Lahannya cantik, orangnya baik, kuat tertancap amalan beragama dan berbudaya. Namun sisi gelap yang tidak mampu diredam ialah gejala penagihan dadah anak muda yang diwarisi sejak dahulu.
Ucapan Bajet 2026 Menteri Besar pagi kelmarin antara lain juga memfokuskan untuk melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan sosial inklusif. Penulis mengambil kesempatan membahas ucapan Bajet pagi ini dalam sub tajuk tersebut dengan isu kempen membasmi penyalahgunaan dadah.
Isu dadah cuba dijadikan senjata pembenci PAS seolah-olah Terengganu adalah negeri gagal. Walhal isu dadah adalah isu berdekad lamanya, semenjak zaman kolonial lagi. Dadah opium dibawa masuk oleh migran dari China, dihalalkan oleh British pada tahun 1826 dengan pengutipan cukai daripada opium. Dalam dekad 1960-an, penjarahan Amerika di Vietnam turut mempopularkan dadah jenis morfin dan heroin, penggunaan dadah oleh tentera Amerika untuk melawan kesakitan. Di Malaysia, Pulau Pinang dikesan awal penggunaan dadah heroin dan morfin dalam dekad 1960-an. Penggunaan najis dadah juga terkait rapat dengan budaya Woodstock dan hippies yang fenomenal pada penghujung dekad 1960-an dan awal 1970-an. Ikon anak seni juga terkait dengan budaya penggunaan dadah seperti Jimmy Hendrix dan Bob Marley. Dengarlah lagu-lagu popular dekad 1970-an seperti ‘Smoke on the Water’ yang menjadi siulan anak muda yang membawa kepada normalisasi penggunaan najis dadah.
Penyalahgunaan dadah terus mekar dalam dekad 1980-an, era ‘Battle of the Bands’ pada pertengahan dasawarsa 1980-an dengan kegilaan rockmania terus mengheret anak muda ‘lalok’ dengan bahan terlarang itu.
Berkembangnya dadah sintetik adalah dengan jaringan besar hiburan diskotik yang merangsang anak muda untuk mencuba. Dadah tidak mengenal bendera parti, latar sosial mahupun latar pendidikan. Ia terus menjadi ancaman kepada penerusan generasi sehingga kerajaan mengisytiharkannya sebagai musuh negara pada tahun 1983.
Pelbagai usaha dibuat untuk menangani masalah najis dadah di pihak kerajaan dan bukan kerajaan. Penubuhan pusat-pusat pemulihan dadah Islamik seperti cendawan tumbuh, usaha yang sama juga dilakukan oleh pihak bukan kerajaan di Indonesia dan juga Thailand. Kerajaan Terengganu dengan Darul Barokah, juga pelbagai NGO seperti PENGASIH yang mewujudkan pelbagai pusat rehabilitasi di seluruh negara. Tidak ketinggalan juga aktiviti-aktiviti pencegahan serta kempen oleh PEMADAM, Darul Islah dan lain-lain usaha masyarakat sivil.
Kondisi kawasan perdesaan di Terengganu dari Keruak, Besut ke Mak Lagam, Kemaman agak ketara dengan serangan najis dadah. Harga dadah sintetik juga semakin murah dan mampu milik oleh anak-anak remaja. Dengan nilai RM5 sebiji pil kuda, ianya mampu dibeli oleh pelajar-pelajar sekolah.
Vape juga dikenal pasti untuk merosakkan anak-anak muda, adunan dadah seperti vape mushroom senang didapati dan sukar dikesan oleh ibu bapa, penjaga serta guru-guru.
Kerajaan Terengganu walau ditentang hebat oleh syarikat-syarikat vape tetap terkedepan dalam menangani isu salah guna vape ini. Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani dalam menjaga kepentingan serta kemaslahatan rakyat terutamanya anak-anak muda. Di kampung-kampung tradisional Melayu, anak-anak muda berhimpun dengan kepulan asap vape, juga air ketum dengan jelira bercerita, kadang-kadang adanya unsur kejelekan sosial dalam keseronokan.
Sejujurnya, penagihan ketum dalam diam juga semakin membuncah. Penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah sintetik; ianya langkah awal anak remaja terjebak dengan penagihan dadah sejak bangku sekolah rendah.
Pihak AADK sebagai entiti paling hadapan menangani isu penagihan dadah telah mengesahkan vape menjadi wahana baharu penggunaan dadah sintetik. Pengedar dadah juga mensasarkan penggunaan muda dadah melalui penggunaan vape.
Terdapat seramai 12,004 penagih dadah di Terengganu pada tahun 2024. Manakala Daerah Kuala Nerus mempunyai penagih paling ramai, diikuti oleh Daerah Besut. Tanah rancangan FELDA serta PPRT yang sarat dengan kelompok asnaf juga lumayan dengan isu jebakan penagihan dadah oleh anak-anak muda.
Vape digunakan oleh sang pemula dengan disasarkan ke arah pelajar-pelajar sekolah.
Vape mengandungi dadah ganja sintetik berbahaya, kajian mendapati bahawa ‘magic mushrooms’ dalam cecair vape dikesan mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya daripada psilosibin.
Kerajaan negeri Terengganu membayar harga yang mahal dengan berani menghentikan penjualan vape. Ianya bukanlah secara drastik mengambil tindakan mengharamkan vape tetapi beberapa langkah awal telah diambil semenjak tahun 2018 lagi. Langkah ini bertujuan bagi menjaga kebajikan pengusaha vape di mana notis awal telah diuar-uarkan agar mereka berganjak kepada bentuk perniagaan lain. Impak vape ini mencapah kepada bahaya hiliran yang lain seperti penyakit sawan, berlakunya darah beku, keguguran janin, kegagalan pernafasan, gangguan kepada perut serta usus, memangkin penyakit kanser, penyebab ketagihan serta kebergantungan fisiologi. Dengan bahasa paling mudah, mudarat vape jauh mendasar berbanding kebaikan daripada hembusan vape walaupun wangian vape menebar pesona kepada anak-anak muda.
Kerajaan Terengganu hari ini mewarisi bagasi sejarah kerajaan terdahulu; isu dadah tidak mampu diselesaikan dalam sehari. Pelbagai pihak wajib dilibatkan dalam kempen anti dadah skala besar pada tahun 2026. Ini termasuklah PDRM, AADK, juga kolaborasi dengan PEMADAM, masyarakat sivil, Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN dan lain-lain.
Kerajaan Terengganu wajib tegas menjaga anak-anak muda sebagai generasi pewaris perjuangan, melindungi akal serta keterampilan intelektual. Gejala penagihan dadah antara isu besar yang memalit contengan kepada negari jantung hati orang Melayu ini dan vape antara pemulanya.
Pastikan Terengganu bebas daripada budaya hedonisme, sensate culture serta cara hidup bohemian yang meruntuhkan jati diri Muslim. Insya-Allah, tanah air kita mampu membasmi kemiskinan jika sekiranya semua warga memainkan peranan mereka. Kemapanan integriti juga faktor utama bagi menjayakan kempen basmi dadah, iltizam politik yang serius untuk melihat kesuksesan program membasmi dadah. Terengganu maju, berkat, sejahtera, Insya-Allah!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Jerteh – HARAKAHDAILY 11/11/2025











