
KUALA LUMPUR: Dunia Islam kehilangan seorang lagi tokoh ilmuwan terkemuka apabila pemikir yang banyak merungkai rahsia saintifik al-Quran, Dr Zaghlul Najjar telah kembali ke rahmatullah.
Penulis prolifik, Alang Ibn Shukrimun berkata, Allahyarham yang berasal dari Mesir itu merupakan seorang pemikir yang berguru dengan ramai ulama Syam dan cukup terkenal dalam kalangan ilmuwan Islam sepanjang beliau berada di Damsyik.
Menurutnya, walaupun tidak begitu dikenali dalam kalangan masyarakat awam, Dr Zaghlul amat dihormati oleh para ulama dan umara kerana sumbangannya dalam dunia keilmuan Islam.
“Buku beliau menjadi silibus pengajian di banyak pusat pengajian global. Pandangan beliau pula menjadi rujukan akademik ribuan bahan ilmiah dalam pelbagai bahasa dan bangsa,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Jelasnya, antara kajian Allahyarham yang terkenal hingga ke dunia Barat termasuklah berkenaan gunung sebagai pasak bumi, langit berlapis-lapis, dan asal kejadian besi daripada letusan kosmik.
Terangnya, Dr Zaghlul menjelaskan bahawa gunung memiliki akar yang menjunam ke bawah dan berfungsi menstabilkan kerak bumi, selaras dengan firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 15, ‘Dan Dia meletakkan gunung-ganang yang teguh di atas bumi supaya ia tidak menggegar kamu’
Dr Zaghlul juga katanya, menjelaskan bahawa langit bukan sekadar atmosfera, tetapi terdiri daripada lapisan bertingkat sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Mulk ayat 3, ‘Dialah yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis’.
Selain itu Alang berkata, Dr Zaghlul juga mendedahkan bahawa besi bukan terbentuk di bumi, tetapi hasil daripada letusan kosmik atau supernova sebelum ‘diturunkan’ ke bumi, menepati firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 25, ‘Dan Kami turunkan besi, padanya terdapat kekuatan yang hebat’.
Alang berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada dunia Islam yang semakin kekurangan ilmuwan berwibawa.
“Semoga Allah merahmati dan menempatkan roh beliau di kedudukan tertinggi sesuai dengan perjuangannya. Semoga Allah juga memelihara umat ini yang semakin kehilangan panduan alim ulama,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











