
ARAU: Wanita merupakan tonggak utama dalam pembentukan keluarga dan masyarakat yang harmoni, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar Negeri, Wan Badariah Wan Saad.
Beliau mengetengahkan kisah pengorbanan dan keberanian Sayyidatina Asma’ Abu Bakar yang wajar dijadikan teladan oleh seluruh wanita, selaras dengan semangat perjuangan, ketabahan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh tokoh tersebut.
“Nama Sayyidatina Asma’ dipilih untuk program ini kerana ibrahnya yang begitu besar, lambang keberanian dan kecekalan seorang wanita dalam mendukung perjuangan Islam sejak awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Sayyidatina Asma’ dan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 (BKK25) Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Sivik, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, program julung kali itu bukan sekadar wadah ilmu dan pendedahan kepada wanita, tetapi turut menjadi platform penghargaan menerusi Anugerah Sayyidatina Asma’ kepada tokoh wanita yang banyak berjasa dalam pelbagai bidang.
Mengulas mengenai Bulan Keluarga Kebangsaan, beliau menjelaskan bahawa sambutan yang bermula sejak 2012 itu merupakan usaha berterusan memperkukuh institusi keluarga melalui pelbagai program yang digerakkan bersama agensi kerajaan, swasta dan NGO.
Tahun ini, sambutan membawa tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’, yang menekankan nilai Kasih Sayang, Berakhlak, Sihat dan Selamat, Berilmu serta Harmoni sebagai tunjang ketamadunan negara.
Beliau turut berkongsi dapatan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) tahun 2022 yang menunjukkan skor Perlis sedikit menurun kepada 7.95 berbanding 7.99 pada 2019, khususnya dalam domain Kualiti Masa Bersama Keluarga dan Imbangan Masa Kerja-Keluarga.
“Ini menunjukkan keperluan untuk kita lebih menitikberatkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 2023 menetapkan Hari Keluarga sebagai acara tetap di semua kementerian dan agensi kerajaan mulai 2024.
“Saya menyeru agar Keluarga Besar Perlis menyahut seruan ini dengan melaksanakan aktiviti yang menerapkan elemen perpaduan dan kepelbagaian bagi membina masyarakat progresif dan mampan,” katanya.
Wan Badariah turut memuji pelaksanaan program bersiri ‘Women’s Talk’ yang dianjurkan bersama Pertubuhan Perundingan Wanita Perlis dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia Perlis, sebagai platform memperkasa peranan wanita melalui perkongsian ilmu dan kesedaran hak.
Sepanjang sambutan tiga hari itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk Funrobik KASIH Keluarga, Family Fun Walk, Pertandingan Mewarna, serta sesi perkongsian ‘Kita Kan Keluarga!’.
Kemeriahan turut diserikan dengan Karnival Kasih Keluarga yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan keluarga secara percuma, pameran oleh agensi kerajaan, Jualan Rahmah, serta jualan produk tempatan orang Perlis.
“Seronok melihat ibu bapa dan anak-anak bersantai bersama. Inilah makna sebenar kasih dan kebersamaan dalam keluarga,” ujarnya lagi.
Wan Badariah turut menyeru agar semua pihak menghargai keluarga masing-masing dan memperbanyakkan masa bersama mereka.
“Kasih sayang dalam keluarga itu percuma, namun nilainya amat mahal. Ia tidak dapat diganti walau dengan wang berjuta,” tegasnya. – *HARAKAHDAILY 11/11/2025*











