
KUALA LUMPUR: Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) menggesa tindakan tegas diambil terhadap penggunaan label ‘Muslim Choice’ yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim.
Beliau berkata, isu tersebut berkait dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menimbulkan kebimbangan kerana label berkenaan seolah-olah menjadi pengakuan halal yang setara dengan pengiktirafan rasmi daripada JAKIM.
“Pihak JAKIM telah mengeluarkan kenyataan pada 2 November lalu bahawa satu pertemuan telah diadakan bersama NGO terbabit pada 23 Ogos 2024.
“Dalam kenyataan itu juga dijelaskan bahawa pengeluaran sijil pengesahan halal Malaysia adalah di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang hanya membenarkan JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri untuk memperakui sijil halal,” katanya.
Jelas beliau, tindakan pihak tertentu menggunakan label ‘Muslim Choice’ tanpa asas piawaian yang sah boleh menyebabkan salah faham dalam masyarakat.
“Apabila pihak di sebelah sana menggunakan label ‘Muslim Choice’ yang tidak diketahui piawaian halalnya, ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Perkara sebegini sangat sensitif bagi umat Islam kerana soal makanan halal dan tayyibah adalah prinsip penting yang mesti dijaga,” tegasnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri, semalam.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan mengambil tindakan susulan yang tegas terhadap pihak yang mengelirukan pengguna dengan label sedemikian.
Ustaz Ahmad turut menyentuh mengenai Model Pengajian Tahfiz Malaysia (MPTM) yang menyasarkan lahirnya 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050.
Beliau menyokong penuh inisiatif itu namun menekankan keperluan memperkukuh aspek pembangunan bersepadu, khususnya dalam latihan dan pedagogi guru tahfiz agar kaedah pengajaran sejajar dengan pendekatan moden.
“Saya pernah bangkitkan sebelum ini tentang kepentingan elemen pembangunan bersepadu latihan pedagogi kepada guru tahfiz. Apakah perincian semasa kerajaan terhadap perkara ini?
“(Iaitu) bagi memastikan kelestarian institusi tahfiz dalam aspek keteraturan kewangan dan pembangunan infrastruktur?” soal beliau yang juga Ketua Ulamak PAS Pusat.
Ahmad juga berkata, memperkasa institusi tahfiz bukan sahaja penting dalam melahirkan hafiz al-Quran profesional, malah menjadi benteng kekuatan ummah dalam mendepani cabaran masa depan negara. – HARAKAHDAILY 6/11/2025











