
KUALA LUMPUR: ‘Kota Madani’ iaitu projek kerajaan bernilai hampir RM4 bilion menerima teguran sebagai pelaburan besar yang sepatutnya lebih memberi keutamaan kepada pembangunan asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) menyeru kerajaan agar menilai semula keutamaan projek mega tersebut yang disifatkannya tidak seimbang dengan realiti hidup rakyat di pedalaman.
“Marilah kita sama-sama renungkan realiti di pedalaman Sabah dan Sarawak, rumah daif, jalan tanah merah, guru terpaksa menunggang ‘scrambler’, pelajar menaiki sampan, malah ada murid memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet,” ujarnya.
Beliau berkata, jurang kemudahan asas antara bandar dan luar bandar masih ketara, dan jumlah RM4 bilion itu jika digunakan dengan berhemah, boleh membawa manfaat jauh lebih besar kepada rakyat.
“Kalau kita hitung secara mudahnya, dengan jumlah itu boleh dilaksanakan hampir 50,000 unit Rumah Mesra Rakyat, menaik taraf jalan pedalaman, membina jambatan kekal, pelebaran laluan, malah menambah hospital dan bekalan air nasional,” katanya.
Jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, langkah sedemikian bukan sahaja lebih berimpak sosial, bahkan mengurangkan jurang kemiskinan wilayah.
“Jika ada pihak mendakwa saya anti pembangunan, saya reda. Saya lebih memilih untuk berpihak kepada keselesaan majoriti rakyat,” tegasnya ketika membahas Belanjawan 2026 di Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Ustaz Fawwaz yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang turut menyoal peruntukan hampir RM40 juta di bawah butiran Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang bagi Belanjawan 2026.
Beliau meminta kerajaan memperincikan objektif program, garis masa pelaksanaan serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas termasuk jumlah kontrak, rantaian bekalan, dan nilai pelaburan swasta yang akan dijana.
“Saya mohon kerajaan jelaskan apakah definisi sebenar penyertaan Bumiputera itu? Adakah melibatkan tenaga kerja sektor bernilai tinggi seperti digital, logistik dan aeronautik, atau penyertaan sebagai vendor dan kontraktor dalam sektor tersebut?” soalnya.
Beliau turut ingin tahu sama ada projek tersebut termasuk bantuan kepada usahawan Bumiputera seperti geran padanan, latihan automasi atau skim pembiayaan, serta pihak pelaksana sama ada kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta.
Lebih penting, beliau membangkitkan isu ketidakseimbangan pemilikan tanah antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang berlaku di negeri Pulau Pinang.
“Kerajaan perlu ada pelan jangka pendek dan panjang untuk menyeimbangkan pegangan tanah ini. Negeri saya, Pulau Pinang, tidak mempunyai Tanah Rizab Melayu,” tegasnya.
Beliau berharap agar kerajaan melalui GLIC dapat memberikan tumpuan kepada pemilikan strategik Bumiputera di negeri berkenaan.
Beliau juga berharap agar kerajaan benar-benar meneliti keutamaan pembangunan berpaksikan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar membina mercu tanda baharu yang tidak menjawab keperluan asas masyarakat luar bandar. – HARAKAHDAILY 6/11/2025











