Penat akan hilang tapi masa lepas takkan kembali…

- Advertisement -

Beberapa bulan lepas, saya terima satu permohonan daripada seorang ibu tunggal. Katanya, dia perlukan bantuan untuk membaik pulih bilik air di rumah sewanya. Bila saya turun sendiri tengok keadaan tu… hati saya terus sebak.

- Advertisement -

Dindingnya reput, lantainya rosak, bau hapak menyengat. Saya berdiri seketika, dan terdetik dalam hati…

“Siapa sanggup tinggal dalam keadaan begini?”

Kita yang hanya memandang pun tak sanggup, apatah lagi dia… seorang ibu, bersama empat orang anak yang masih bersekolah tinggal di situ.

Mungkin ada yang kata, “Tuan rumah la yang patut baiki.”

Ya, logiknya begitu. Tapi kisah kali ni lain. Tuan rumah ni bukan orang berada, malah rumah tu pun asalnya tak berhajat untuk disewakan sebab terlalu uzur. Tapi apabila ibu tunggal ini yang merayu tempat berteduh, dia buka pintu rumah dan pintu hatinya sekali.

Beliau izinkan keluarga itu duduk dengan sewa yang ala kadar sahaja. Dan bila saya beritahu nak bantu baiki tandas tu, beliau pun sanggup untuk menolak sewa untuk tampung kos baik pulih tersebut. Saya terdiam. Jarang, sangat jarang jumpa insan sebaik ini.

Alhamdulillah… Allah SWT hantar bantuan daripada semua arah.

NGO Pemuda Bersamamu Terengganu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sura, Team Khidmat Malaysia Terengganu, NGO Al-Itqan, dan barisan volunteers yang luar biasa hebat semuanya turun padang dengan tenaga dan jiwa yang ikhlas.

Tiga hari kami bergotong-royong.

Peluh bercucuran, tangan penuh cat dan simen, tapi hati rasa ringan. Semuanya demi sebuah keluarga yang hanya mahu hidup dengan sedikit selesa.

Dari situ saya belajar sesuatu. Kalau kita turun padang, yang mustahil pun boleh jadi mungkin. Tindakan kecil, tapi impaknya besar.

Ini juga adalah merupakan kerjasama strategik antara Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bersama Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.

Insya-Allah banyak lagi kerjasama yang telah dirangka dan akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri Pahang khususnya di bawah ADN pembangkang yang dinafikan peruntukan untuk membela rakyatnya dengan pelbagai karenah birokrasi.

Kepada tuan rumah yang berhati mulia, dan semua sukarelawan yang tak kenal penat, semoga Allah SWT limpahkan rezeki, kesihatan dan
keberkatan hidup buat kalian. Hanya Dia yang mampu membalas budi kalian.

YB AYUB ASHRI,
ADN Sungai Lembing – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -