
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN–Arau) membangkitkan persoalan terhadap langkah kerajaan mengambil alih Litar F1 Sepang dengan bayaran tahunan tetap sebanyak RM46 juta kepada Malaysia Hospitality Sdn Bhd (MHSB) selama lapan tahun.
Beliau mempersoalkan justifikasi pembayaran itu serta hala tuju sebenar kerajaan terhadap penggunaan litar berkenaan selepas pengambilalihan dibuat, ketika berucap dalam perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kewangan (MOF) bagi Bajet 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
“Kerajaan membuat bayaran tetap kepada MHSB untuk mengambil alih Litar F1 sebanyak RM46 juta setahun selama lapan tahun. Apa fungsi sebenarnya langkah ini? Bila kerajaan ambil alih, apa yang dilakukan terhadap litar tersebut?” soal beliau.
Menurut Shahidan, Litar F1 Sepang sebelum ini pernah menjadi kebanggaan negara apabila penganjuran perlumbaan ‘Formula One’ menarik perhatian luar biasa masyarakat dunia.
“Ketika penganjuran terdahulu, seluruh dunia bercakap tentang F1 di Sepang. Orang datang ke Malaysia semata-mata untuk menonton F1. Ini antara sukan yang mendapat perhatian global selain bola sepak,” ujarnya .
Beliau turut menegaskan perlunya kerajaan menjelaskan sama ada penganjuran perlumbaan itu benar-benar merugikan negara sehingga terpaksa dihentikan, atau jika keuntungan tidak langsung seperti promosi pelancongan dan imej antarabangsa diambil kira dalam penilaian.
“Kita nak angka yang tepat, adakah penganjuran ‘Formula One’ benar-benar merugikan kerajaan termasuk dari segi bayaran lesen kepada Formula One Management? Dulu kita boleh anjur, tapi sekarang bila dah ambil alih, apa perancangan kerajaan terhadap litar itu?” soalnya.
Shahidan turut mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan sepenuhnya aset sedia ada itu dengan menganjurkan perlumbaan bertaraf antarabangsa lain atau acara sukan bermotor berimpak tinggi agar tidak merugikan rakyat.
“Kalau tidak digunakan untuk acara besar, ia hanya akan hancur begitu sahaja. Ini satu kerugian kepada negara kerana sukan ini mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 6/11/2025











