Dua guru sekelas: KPM sekadar ‘cat baharu tutup retak’?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan melaksanakan kaedah ‘co-teaching’ atau dua guru dalam satu kelas bermula 2027 disifatkan sebagai langkah ‘gah’, namun dipersoal sama ada ia benar-benar membaik pulih sistem atau sekadar ‘menutup retak dengan cat baharu’.

- Advertisement -

​Pengamal Undang-Undang, Yusfarizal Yussoff berkata, walaupun bertujuan menjadikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih interaktif, inisiatif itu dilihat ‘melompat’ keutamaan sebenar, iaitu memulihkan fasiliti dan sistem sokongan sedia ada.

​Beliau membangkitkan persoalan susulan cadangan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tersebut sama ada penambahan guru adalah ‘ubat’ yang tepat sekiranya sekolah masih berdepan isu asas.

​“Maka soalnya, kalau kelas masih padat, guru terbeban, siling bocor dan meja reput, adakah menambah guru ubatnya, atau sekadar cat menutup kulat di dinding?

​“Kalau latihan guru tak cukup, apakah dua jiwa dalam satu kelas akan serasi, atau berselisih cara dan isi?” soalnya dalam laman Facebook peribadinya.

​Ujarnya, asas sistem pendidikan negara masih ‘pincang’ berbanding negara maju seperti Finland dan Jepun, di mana kejayaan mereka disokong oleh sistem yang kukuh merangkumi gaji adil, latihan rapi, nisbah murid rendah, dan kemudahan sempurna.

​“Kita? Asasnya masih pincang, bajetnya masih terikat, tapi kita mahu meniru langkah gergasi. Saya bukan menolak inovasi. Saya cuma menuntut keutamaan. Sebelum tambah guru, kukuhkan sistem. Kamera Litar Tertutup (CCTV) pun kena tambah.

​“Sebelum bangga ‘dua dalam satu’, pastikan satu pun belum lumpuh,” katanya turut mencadangkan KPM membentangkan strategi rapi agar rancangan itu tidak berakhir seperti projek ART (Automated Rapid Transit) yang ‘tiba-tiba ada, tiba-tiba kita kecewa’.

​Semalam, media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengumumkan kaedah ‘co-teaching’ itu sebagai sebahagian daripada Kurikulum Persekolahan 2027.

​Menurut Fadhlina, ia akan melibatkan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada Tahap I dan melibatkan dua guru setara, bukan guru dan pembantu.

​Katanya, KPM telah melaksanakan uji rintis untuk kaedah ini kepada 130 guru dan menerima maklum balas positif. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -