
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya), mempersoalkan implikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat terhadap hasil kutipan cukai negara, khususnya dalam konteks Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Perkhidmatan Digital.
Beliau berkata, berdasarkan perjanjian berkenaan, barangan pertanian, makanan dan hasil laut dari Amerika Syarikat ke Malaysia dikecualikan daripada SST, sedangkan produk serupa dari negara lain masih dikenakan cukai.
“Sebelum ini, pendekatan kerajaan dalam mengenakan cukai penggunaan adalah berdasarkan jenis item atau perkhidmatan. Contohnya, buah-buahan import seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma.
“Semua dikenakan cukai kemudian selepas menyedari bahawa adalah tidak adil kepada rakyat untuk mengenakan cukai kepada buah tersebut maka kerajaan mengecualikannya daripada SST.
“Jika kita lihat keputusan tersebut adalah dibuat berdasarkan jenis item ataupun barangan tidak dibezakan dari negara mana buah tersebut diimport tetapi berdasarkan perjanjian dengan Amerika Syarikat SST tidak akan dikenakan kepada barangan pertanian. Termasuk buah-buahan serta makanan laut dari Amerika Syarikat.
“Tetapi akan dikenakan untuk barangan yang sama yang dibawa masuk dari negara lain. Soalan saya apakah sebelum ini kerajaan pernah membeza-bezakan penggunaan cukai untuk produk import mengikut negara asal produk tersebut?
“Apakah Malaysia akan memberikan pengecualian yang sama kepada barangan import daripada negara lain dan apakah kesan kepada hasil ketetapan cukai kerajaan sekiranya semua negara diberi pengecualian cukai yang sama?” soalnya ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Radzi turut merujuk kepada Artikel 3.1 perjanjian sama yang menyatakan Malaysia tidak boleh mengenakan Cukai Perkhidmatan Digital (Digital Services Tax) atau sebarang cukai serupa yang boleh mendiskriminasi syarikat dari Amerika Syarikat.
“Saya ingin tahu, berapakah hasil kutipan cukai perkhidmatan digital daripada syarikat-syarikat dari Amerika Syarikat pada ketika ini dan berapakah pula hasil kutipan cukai ini daripada syarikat-syarikat dari negara lain?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan memperincikan kadar tarif produk-produk dari Amerika Syarikat yang telah diturunkan atau dikecualikan sepenuhnya akibat perjanjian tersebut.
“Saya mohon Menteri jelaskan berapa talian tarif yang terlibat, kadar penurunan setiap satu, serta jumlah keseluruhan talian tarif terkini yang digunakan kerajaan. Apakah kesannya kepada hasil kutipan negara?” katanya.
Terdahulu, Radzi turut menyamakan perjanjian itu dengan Perjanjian Pangkor 1874, namun enggan mengulas lanjut, dengan menyatakan bimbang ramai yang koyak. – HARAKAHDAILY 6/11/2025











