PAS akan tanding lima kerusi pada PRN17 Sabah

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS akan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 daripada keseluruhan 40 kerusi bakal ditandingi PERIKATAN NASIONAL (PN), kata Naib Presiden PAS.

- Advertisement -

Dato’ Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah memberitahu, perbincangan di peringkat PN Sabah telah dimuktamadkan dengan agihan kerusi disusun mengikut potensi kawasan yang boleh dimenangi termasuk satu daripadanya di DUN Karambunai.

“PAS bertanding di Karambunai kerana Pesuruhjaya PAS Sabah, (Datuk Dr) Aliakbar Gulasan bertanding di situ dan kawasan tersebut dilihat mempunyai potensi tinggi untuk dimenangi PAS,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, PAS kini berada pada fasa akhir proses pemilihan calon serta persiapan terakhir menjelang PRN Sabah yang bakal berlangsung bulan ini.

Beliau berkata, beberapa isu utama dijangka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya, antaranya kes Allahyarhamah Zara Qairina serta isu rasuah yang sekian lama menjadi masalah utama di Sabah.

“Sekiranya pembangkang bijak membawa isu ini, ia boleh memberi kesan besar kepada kerajaan sedia ada dan memihak kepada pembangkang. Namun begitu, jika tersilap langkah, ia juga boleh menjadi ‘backfire’ kepada pihak pembangkang sendiri,” jelasnya.

Mohd Amar berkata, antara punca utama membantutkan pembangunan di Sabah ialah masalah rasuah yang menyebabkan hasil dan peruntukan tidak sampai kepada rakyat.

“Tiada pembangunan bukan kerana tiada peruntukan, tetapi kerana sumber kewangan tidak sampai ke tempat sepatutnya.

“Justeru, PN menawarkan pendekatan baharu untuk membawa perubahan di Sabah demi kesejahteraan rakyat di sana dan kita berharap rakyat Sabah mengambil peluang ini sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata, parti-parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah diuji dan diberi peluang memerintah namun masih gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.

“Oleh sebab itu, kita mahu menawarkan pilihan baharu kepada rakyat Sabah supaya mereka menilai dan membuat keputusan yang terbaik ketika hari pengundian nanti,” ujarnya.

Mohd Amar turut memaklumkan bahawa arahan akan diberikan kepada jentera negeri untuk membantu kemenangan calon PAS dan PN apabila tempoh berkempen tiba nanti.

“Sebagaimana biasa, pimpinan akan menentukan lokasi dan kawasan sesuai bagi penugasan petugas dari Semenanjung untuk membantu kempen di kawasan yang kita tandingi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan PN telah sepakat menggunakan satu logo iaitu logo PN pada PRN Sabah nanti yang melibatkan 40 kerusi DUN sebagaimana hasil perbincangan awal.

“Bagaimanapun, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi oleh PN akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon dan diumumkan secara rasmi pada 11 November ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 5/11/2025

- Advertisement -