
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim-Friendly Watch.
Gesaan itu berikutan pertubuhan tersebut telah mengeluarkan label produk tersendiri seakan-akan perakuan sijil halal sehingga dilihat boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pihaknya meneliti kenyataan Ketua Pengarah JAKIM yang memaklumkan pertemuan dua hala sudah diadakan dengan NGO terbabit sejak tahun lalu.
Namun difahamkan dari kenyataan rasmi tersebut, tiada tindakan susulan dilakukan menyebabkan pelabelan ‘Muslim Choice’ terus membayangi logo Halal rasmi JAKIM.
Beliau berkata, langkah NGO berkenaan meletakkan label ‘Muslim Choice’ tanpa piawaian halal yang jelas boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
Sedangkan tegas beliau, hanya JAKIM serta Majlis Agama Islam Negeri berhak mengeluarkan logo Halal di Malaysia.
“Kriteria penetapan halal oleh NGO Muslim-Friendly Watch dengan pelabelan ‘Muslim Choice’ itu tidak seiring dengan piawaian Halal Malaysia di bawah JAKIM.
“Bahkan, piawaian Halal Malaysia juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa selain prosedur pensijilan halalnya juga telah diiktiraf,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh membiarkan badan lain membuat penilaian halal dengan label ‘Muslim Choice’ yang hampir sama dengan logo Halal Malaysia.
Ia nyata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, sekali gus dikhuatiri akan dinormalisasi dalam masyarakat walaupun tidak memenuhi piawaian halal sebenar.
“Justeru, Dewan Ulamak PAS menegaskan bahawa JAKIM sewajarnya mengambil langkah yang lebih tegas dalam menangani isu ini. Perkara sebegini tidak harus dibenarkan berlanjutan dalam masyarakat.
“Kerana ia hanya membawa kekeliruan selain merendahkan piawaian halal yang telah ditetapkan pihak JAKIM selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2025











