Isu bantuan banjir, syor wujud Arkib Suara Qurani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa banjir bagi memastikan mereka menerima bantuan awal kewangan dalam tempoh kurang dua minggu selepas kejadian bencana.

- Advertisement -

Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, prosedur sedia ada di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilihat terlalu birokratik dan perlu disemak semula menjelang musim tengkujuh yang semakin hampir.

“Saya menyeru kerajaan agar mempercepatkan prosedur bantuan NADMA dan kurangkan birokrasi. Bantuan awal kewangan mesti disalurkan dalam tempoh kurang dua minggu selepas banjir berlaku, bukan selepas laporan panjang,” katanya.

Abdul Latiff menggesa demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Beliau turut membangkitkan isu mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar, tetapi sebaliknya menumpang di surau, dewan atau rumah jiran kerana PPS terlalu jauh dari kawasan mereka.

“Mereka ini tidak mendapat bantuan sepatutnya perkara ini perlu dipertimbangkan semula oleh kerajaan. Sewaktu kerajaan Perikatan Nasional dahulu bantuan awal kewangan turut diberikan adalah bantuan gantian selain bantuan awal kewangan.

“Maknanya dua perkara ini dapat semua dalam tempoh sekitar dua minggu sahaja selepas warga yang terlibat pulang ke rumah dari PPS,” ujarnya.

Dalam perbahasan itu beliau juga mencadangkan agar kerajaan menambah baik fungsi percetakan al-Quran dan pusat dokumentasi tilawah serta hafazan al-Quran supaya setiap bacaan qari dan qariah negara sejak tahun 1960-an dapat disimpan dalam format digital berkualiti tinggi serta mudah diakses oleh umum.

Beliau mengusulkan agar kerajaan menubuhkan Arkib Suara Qurani Negara di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai pusat sehenti penyimpanan dan penyelidikan rakaman tilawah, termasuk milik juara peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, beliau menyarankan kerjasama antara JAKIM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Arkib Negara bagi mendapatkan serta memulihkan semula rakaman lama tilawah secara profesional.

“Kerajaan juga boleh mewujudkan platform rasmi dalam talian, contohnya quranic.my, yang membolehkan umat Islam mendengar, mempelajari dan meneladani bacaan tersebut secara percuma. Rakaman ini boleh dijadikan bahan latihan di sekolah tahfiz, KAFA dan institusi al-Quran di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu turut memberi manfaat kepada pelajar seni suara Islam di universiti yang boleh menjadikan rakaman berkenaan sebagai bahan kajian dalam bidang nada, mahraj dan taranum Melayu-Islam yang unik di dunia. – HARAKAHDAILY 5/10/2025

- Advertisement -