
KUALA LUMPUR: Isu pelaksanaan inisiatif FLYsiswa kembali hangat di Dewan Rakyat hari ini apabila Shaharizukirnain Abd Kadir (PN–Setiu), mencadangkan agar baucar penerbangan RM400 itu turut dipanjangkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta guru yang kerap berulang-alik antara Semenanjung dan Borneo.
Beliau turut membangkitkan rungutan mengenai penalti pertukaran butiran penumpang, termasuk kesilapan ejaan nama, yang kadangkala melebihi harga asal tiket.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menjelaskan bahawa FLYsiswa bukan pakej syarikat penerbangan, sebaliknya inisiatif kerajaan berbentuk baucar bernilai RM400 yang ditebus semasa pembelian tiket.
Kerajaan katanya, mengambil maklum cadangan peluasan kepada pelajar IPTS dan guru namun perkara itu bergantung kepada kemampuan fiskal semasa memandangkan ia melibatkan peruntukan yang besar.
Isu kos penerbangan antara Semenanjung dan Borneo sudah sekian lama membebani rakyat yang berulang-alik—terutama pelajar dan penjawat awam—dengan persoalan keadilan akses serta struktur caj tambahan yang kerap dipersoal. – HARAKAHDAILY 5/11/2025











