Pusat gadai hasil kekayaan REE negeri kepada Amerika?

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika pada 26 Oktober lalu menjadi tumpuan umum apabila pelbagai pihak tampil menyuarakan pandangan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Chempaka, Arsyad Ismail.

- Advertisement -

Menurut beliau, antaranya berhubung kandungan menyentuh unsur nadir bumi (REE) penting kerana ia melibatkan kekayaan sumber negeri yang berpotensi besar untuk menjana ekonomi rakyat Kelantan.

Katanya, antara rujukan utama terhadap isu tersebut ialah penulisan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang bertanggungjawab terhadap portfolio sumber asli negeri.

“Perkara penting yang rakyat Kelantan perlu tahu tentang REE ialah; ia menjadi bahan utama dalam penghasilan teknologi moden seperti lampu, peranti pintar, lensa kamera, kaca, magnet dan pelbagai lagi bahan yang digunakan dalam jentera serta automotif,” ujarnya.

Beliau berkata, Kelantan merupakan negeri kedua terbesar memiliki sumber REE selepas Terengganu dengan daerah Jeli dan Gua Musang menjadi kawasan utama yang mempunyai sumber bahan mineral berkenaan.

Menurut beliau, Malaysia dianggarkan memiliki nilai REE berjumlah RM747 bilion dengan 15.8 peratus daripadanya berada di Kelantan, iaitu dianggarkan lebih RM118 bilion.

“REE ini adalah milik negeri sebagaimana yang termaktub dalam Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan (Jadual Kesembilan), Perkara 2 yang meletakkan tanah di bawah bidang kuasa negeri.

“Maka ini jelas menunjukkan nadir bumi berada di bawah pentadbiran negeri,” katanya menyusuli kebimbangan banyak pihak terhadap perjanjian yang dilihat berat sebelah serta menggadai kedaulatan dan kekayaan negara itu.

Arsyad berkata, kekayaan sumber tersebut sekiranya dijaga dan dikawal dengan baik mampu menjadi kekuatan kepada ekonomi negeri serta memberi manfaat besar kepada anak tempatan.

“Sekiranya pelabur luar dijadikan rakan strategik, syarat utama mesti memastikan penglibatan anak-anak tempatan dan pakar dalam bidang berkenaan supaya ilmu mereka dapat diaplikasikan di negeri sendiri.

“Perkara ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah akan meningkatkan ekonomi setempat termasuk perniagaan kecil,” katanya.

Beliau membangkitkan persoalan terhadap perjanjian itu yang menggunakan istilah “Malaysia shall refrain from banning or imposing quotas on exports…” kerana secara bahasa ia bermakna Malaysia tidak boleh meletakkan sebarang kuota eksport kepada Amerika Syarikat.

“Ini bererti boleh jadi 50 peratus, 70 peratus atau mungkin 100 peratus eksport dikuasai mereka. Adakah ini suatu bentuk monopoli baharu?” soal beliau mempertikaikan.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan agar Kelantan tidak sekali lagi berputih mata sebagaimana isu royalti petroleum yang masih belum selesai hingga kini.

“Kelantan sudah seperti bulan jatuh ke riba dengan penemuan REE, tetapi bimbang bulan itu akhirnya diambil orang lain.

“Kerajaan Persekutuan perlu melihat kepentingan bersama antara negeri dan Pusat serta memastikan dasar baharu nanti lebih jelas, telus dan tidak memberi ruang kepada penindasan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa anak muda Kelantan mahu sumber tersebut menjadi lonjakan kepada generasi kini dan masa depan, bukan hanya keuntungan jangka pendek.

“Jangan sampai kita menang hari ini tetapi kalah di kemudian hari. Kerjasama Persekutuan dan negeri mesti menjadi nadi utama dalam menjayakan visi ini. Ini bukan soal politik, tetapi soal masa depan rakyat Malaysia,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -