
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad, Dato’ Ridza Abduh Salleh menyokong gesaan agar perjanjian perdagangan kontroversi dengan Amerika Syarikat (AS) dirunding semula, disemak atau dibatalkan jika enggan bertolak ansur.
Beliau berkata, perjanjian itu, yang kini hangat didebatkan oleh rakyat Malaysia, dilihat sebagai langkah Kerajaan Madani menggadaikan kedaulatan dan kebebasan negara.
”Setelah membaca perjanjian itu, saya bersetuju dengan kebimbangan yang dizahirkan dan menyokong gesaan agar perjanjian ini dirunding semula, disemak, atau dibatalkan jika AS enggan bertolak ansur,” katanya.
Menurut beliau, adalah tidak munasabah dan menjatuhkan maruah untuk mempertahankan perjanjian yang ‘melayan Malaysia seperti budak kecil’.
Mengulas lanjut, Ridza menyifatkan kandungan perjanjian itu sebagai berat sebelah dan mencadangkan tajuknya ditukar kepada ‘perjanjian perdagangan bukan timbal balas’.
Beliau turut mengkritik lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald John Trump ke Malaysia sebelum ini sebagai lawatan persinggahan sahaja.
“Trump datang ke Malaysia untuk lawatan sehari hanya untuk menari dan singgah. Kita pun ikut menari, menyangka ia adalah satu peristiwa besar, tetapi kandungan perjanjian itu ternyata berat sebelah,” ujarnya.
Ridza juga menempelak AS yang sering mengatakan ia adalah jaguh demokrasi dan kebebasan.
”Tetapi perjanjian ini mencerminkan sebaliknya. AS bertindak seperti diktator dan ‘abang besar’ yang bersedia menyebat kita jika ingkar,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian itu merangkumi hampir keseluruhan spektrum aktiviti negara, menjadikan Malaysia sebagai ‘tawanan ekonomi’ AS tanpa justifikasi yang munasabah.
Perkara paling dibimbangi beliau ialah komitmen Malaysia untuk membekalkan mineral nadir bumi (REE) secara bebas atau tanpa syarat kepada AS.
”Mineral nadir bumi digunakan oleh AS untuk menghasilkan senjata sofistikated, peluru berpandu dan sebagainya, yang telah membunuh ribuan rakyat Palestin di bawah program genosid hasil kerjasama dengan Zionis.
”Malaysia berada dalam kedudukan untuk menghalang atau menyokong jenayah ini. Oleh itu, ini bukan perjanjian perdagangan. Ini adalah perjanjian genosid dan kita berpotensi menjadi mangsa jika kita tidak berwaspada,” tegasnya.
Beliau juga memberi amaran bahawa dokumen itu adalah ‘perjanjian terselindung’ yang bertujuan mengheret Malaysia ke dalam kancah perang geopolitik antara AS melawan China dan Rusia, yang meletakkan negara dalam risiko ‘terbakar hidup-hidup’.
Tambahnya, fasal penamatan mungkin tidak berguna jika pertikaian memuncak ke peringkat politik.
”Jadi, jangan berhujah perkataan demi perkataan dan cuba mewajarkannya secara sah di sisi undang-undang, walaupun anda lulusan Harvard atau Yale. Jika anda lulusan Bristol, lupakan sahaja.
”Hentikan kebenaran untuk Trump mengheret Malaysia ke dalam konflik geopolitik ini demi perniagaan, kediaman, kehidupan aman dan kemakmuran negara kita,” katanya. – *HARAKAHDAILY 2/11/2025*











