
Soalan:
Adakah jatuh talak jika suami menceraikan isterinya ketika suami itu sedang marah?
Jawapan:
Apabila seorang itu menceraikan isteri dalam keadaan marah maka talaknya adalah sah dan berlaku.
Berkata Syeikh Ad-Dimyathi:
واتفقوا على وقوع طلاق الغضبان وإن ادعى زوال شعوره بالغضب
Ertinya: “Telah sepakat oleh fuqahak atas berlaku talak ketika marah dan sekalipun dia mendakwa tidak sedar dengan sebab marah itu.” (Kitab I’anah At-Talibin)
Adapun marah yang sampai jadilah suami ketika itu gila maka talaknya tidak sah.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:
طلاق الغضبان: يفهم مما ذكر أن طلاق الغضبان لا يقع إذا اشتد الغضب، بأن وصل إلى درجة لا يدري فيها ما يقول ويفعل ولا يقصده. أو وصل به الغضب
إلى درجة يغلب عليه فيها الخلل والاضطراب في أقواله وأفعاله، وهذه حالة نادرة. فإن ظل الشخص في حالة وعي وإدراك لما يقول فيقع طلاقه، وهذا هو الغالب في كل طلاق يصدر عن الرجل؛ لأن الغضبان مكلف في حال غضبه بما يصدر منه من كفر وقتل نفس وأخذ مال بغير حق وطلاق وغيرها
Ertinya: “Talak dalam keadaan marah itu dapatlah difahami dari barang yang telah disebut tidak berlaku apabila melampau marahnya sekira-kira sampai pada tahap tidak sedar apa yang dicakapkan dan tidak sedar apa yang telah dilakukan. Selagi seseorang itu tahu dan sedar apa yang dia cakapkan maka tetap jatuh talaknya. Inilah yang biasa berlaku pada sekalian talak yang terbit dari seorang suami kerana sungguhnya orang yang marah itu bertanggungjawab pada ketika marahnya itu apa yang terbit dari dirinya sama ada perbuatan kufur atau pembunuhan atau mengambil harta orang tanpa sebenar dan talak isteri dan lainnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Maka sebagaimana pembunuh yang melakukan pembunuhan ketika marah itu tetap dikenakan hukuman dan jadi kafir orang yang melakukan perbuatan kufur ketika marah, maka orang yang menceraikan isterinya ketika marah itu juga menyebabkan jatuh talak.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 31/10/2025











