Kedaulatan Malaysia terhakis bawah Perjanjian Perdagangan Amerika

- Advertisement -

APA itu kedaulatan? Kedaulatan bermaksud hak mutlak sesebuah negara untuk membuat keputusan dalam hal ehwalnya sendiri, tanpa dikawal atau dipaksa oleh kuasa luar termasuk dasar ekonomi, perdagangan, keselamatan dan budaya.

Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (Reciprocal Trade Agreement) antara Amerika dan Malaysia yang diumumkan pada tahun 2025 bukan sekadar dokumen ekonomi tetapi ia adalah instrumen geopolitik yang mengikat Malaysia kepada kehendak Washington. Di sebalik bahasa diplomatik ‘kerjasama dua hala’ tersembunyi siri klausa yang perlahan-lahan mengikis kedaulatan ekonomi, dasar dan budaya Malaysia.

1. Malaysia dipaksa mengikut dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

Melalui Artikel 2.12 dan 5.1.1, Malaysia diwajibkan menyelaraskan langkah sempadan dan sekatan import dengan dasar Amerika termasuk sekatan terhadap negara ketiga. Ini bermakna, jika AS mengisytiharkan sekatan terhadap China, Iran atau Rusia, Malaysia terpaksa mengikut langkah Amerika tanpa peduli ia menguntungkan atau merugikan Malaysia. Kebebasan Malaysia untuk menentukan dasar perdagangan luar terhapus sepenuhnya. Ini bukan lagi kerjasama tetapi penjajaran paksa.

- Advertisement -

2. Kedaulatan diplomatik dan ekonomi tergadai.

Artikel 3.3 dan 5.3.3 menetapkan bahawa Malaysia mesti berunding dengan Amerika sebelum menandatangani mana-mana perjanjian perdagangan digital atau perjanjian ekonomi dengan negara lain. Ini memberi hak veto tidak rasmi kepada Washington terhadap hubungan ekonomi Malaysia dengan dunia. Putrajaya perlu menunggu kelulusan Amerika sebelum bekerjasama dengan China, India atau negara Islam lain.

3. Penguasaan terhadap polisi dalaman dan GLC.

Artikel 6.2.1 menuntut Malaysia memastikan semua syarikat milik atau dikawal kerajaan bertindak secara komersial dan tidak diberi subsidi kecuali untuk perkhidmatan awam. Ini satu tamparan kepada dasar ekonomi negara yang berasaskan campur tangan kerajaan bagi melindungi kepentingan strategik termasuk dasar Bumiputera dan keusahawanan nasional. Apabila GLC tidak lagi boleh menerima bantuan kerajaan, siapakah yang akan menguasai pasaran tempatan? Jawapannya mudah syarikat multinasional Amerika.

4. Campur tangan terhadap hal ehwal halal dan keselamatan makanan.

Lebih parah, Artikel 2.5 dan 2.6.1 menyatakan Malaysia tidak boleh mewajibkan pensijilan halal terhadap produk industri termasuk kosmetik, ubat-ubatan dan peranti perubatan dari Amerika. Ini bermakna produk yang tidak disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh menembusi pasaran tempatan tanpa sekatan. Ini pelanggaran terhadap kedaulatan agama Islam. Apakah kelayakan Amerika untuk menentukan apa yang halal dan apa yang tidak untuk umat Islam Malaysia?

5. Penjajahan budaya melalui penyiaran asing.

Artikel 2.20 pula mewajibkan Malaysia memansuhkan kuota 80 peratus kandungan tempatan dalam siaran televisyen dan membenarkan penyiaran program asing pada waktu perdana. Ini adalah pintu terbuka kepada dominasi budaya Barat dalam ruang media tempatan. Kandungan tempatan akan terpinggir manakala nilai luar akan membanjiri rumah rakyat Malaysia melalui skrin TV.

6. Malaysia terikat pada ‘keselamatan nasional’ Amerika.

Klausa keselamatan dalam Artikel 5.2.3 dan 5.3.4 menetapkan bahawa Malaysia mesti menilai pelaburan dan pembelian bahan strategik mengikut garis panduan Amerika. Amerika mempunyai kuasa dengan mengawal pelaburan tenaga dan teknologi Malaysia. Ini bukan langkah penjajaran keselamatan nasional tetapi memindahkan kuasa strategik Malaysia kepada Washington.

7. Malaysia berdaulat di atas kertas, terikat dalam realiti.

Jika diteliti keseluruhan perjanjian ini, coraknya jelas:
I. Malaysia tidak boleh mencabar dasar Amerika di WTO.
II. Malaysia mesti ikut dasar sempadan, tarif dan sekatan AS.
III. Malaysia tidak bebas memilih rakan dagang.
IV. Malaysia tidak boleh menegakkan standard halal sendiri.
V. Malaysia terbuka kepada pengaruh media dan budaya luar.

Ini bukan lagi hubungan ‘timbal balik’, tetapi perjanjian dominasi satu hala.

Kedaulatan bukan sekadar kata tetapi kuasa

Kedaulatan bukan hanya tertulis dalam Perlembagaan ia perlu hidup dalam keupayaan negara membuat keputusan tanpa tekanan luar. Melalui perjanjian ini, Malaysia tidak kehilangan kedaulatannya secara undang-undang tetapi kehilangan kedaulatan dalam amalan dan realiti.

Putrajaya perlu menilai semula perjanjian dengan tegas. Adakah keuntungan ekonomi jangka pendek berbaloi jika dibayar dengan harga kedaulatan negara? Kerana setelah kedaulatan terhakis tiada lagi ruang untuk berdiri setara hanya tunduk di bawah bayang kuasa besar. Negara yang berdaulat tidak mengikut arahan. Ia membuat keputusan untuk dirinya sendiri.

ANAS SOFFY ABD WAHID
Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 31/10/2025

- Advertisement -