Perjanjian dagang jadikan Malaysia ‘pak turut’ Amerika?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff mempersoalkan kewajaran kerajaan menandatangani perjanjian dagang Malaysia-Amerika yang disifatkannya boleh menjadikan negara ini ‘pak turut’ kepada Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, berdasarkan klausa 5.1 perjanjian berkenaan, Malaysia dilihat terikat untuk mengikut langkah sekatan atau larangan yang dikenakan AS terhadap mana-mana negara atas alasan ekonomi atau keselamatan.

“Tadi saya tertengok video (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)), Tengku (Datuk Seri Utama) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) cuba nak beri justifikasi klausa 5.1 dalam perjanjian dagang Malaysia-Amerika yang nampak macam menjadikan Malaysia sebagai ‘pak turut’ Amerika. 

“Mudah nak faham, bila Amerika kenakan sekatan, larangan kepada mana-mana negara atas tujuan ekonomi atau keselamatan Amerika, maka Malaysia kena ikut sama atau bincangkan garis masa untuk laksanakan perkara sama. Pendek kata Malaysia akan ikut samalah,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu berkata, alasan diberikan Zafrul bahawa Malaysia hanya akan mematuhi perjanjian jika ia melibatkan kepentingan bersama dianggap tidak meyakinkan.

“Hujah Tengku Zafrul adalah, kalau benda tu kepentingan bersama baru Malaysia kena ikut. Yang ni masalah bila ambil orang yang kalah pilihan raya jadi Menteri. Soalan pertama, bukankah menjamin keselamatan Amerika bermakna menjamin keselamatan Israel juga?

“Soalan kedua, sekarang ni Amerika kenakan sekatan ke atas negara-negara pembela Palestin dan Gaza. Apakah selepas ni Malaysia akan ikut sama?” soalnya yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam.

Nurul Islam turut menjelaskan bahawa klausa perjanjian yang menggunakan frasa ‘to address a shared economic or national security concern’ memberi gambaran seolah-olah kedua-dua negara mesti berkongsi kebimbangan ekonomi dan keselamatan yang sama, namun secara undang-undang ia lebih berpihak kepada tafsiran AS.

“Tapi hakikatnya dari sudut intepretasi ‘legal’ perjanjian ini, siapa yang tentukan ianya adalah ‘shared concern’? Kalau Amerika kata, benda tu kebimbangan ekonomi dan keselamatan bersama, Malaysia nak bantah?

“Nak cakap pasal Gaza dan Palestin pun cakap sepintas lalu berlapik dengan puji-pujian melambung-lambung,” tempelaknya berkongsi kebimbangan banyak pihak terhadap perjanjian berat sebelah tersebut.

Beliau turut menegaskan penggunaan istilah ‘shall’ dalam perjanjian itu menunjukkan kewajipan (mandatory), bukan pilihan seperti perkataan ‘may’.

“Dalam masa yang sama, kalau Malaysia ada kebimbangan ekonomi atau keselamatan, Amerika boleh selamba saja cakap, itu bukan kebimbangan mereka. Ada kita boleh paksa dia untuk akui itu juga kebimbangan mereka?” soalnya lagi.

Nurul Islam menegaskan, walaupun kerajaan cuba menggambarkan perjanjian itu sebagai sesuatu yang positif, hakikatnya Malaysia kini berada dalam keadaan yang ‘tersepit dan terkepit’.

“PMX (Perdana Menteri) dan Menteri MITI boleh ‘sugar-coat’ perjanjian yang jelas menjadikan kita ‘pak turut’ Amerika (nak guna perkataan hamba kasar sangat), hakikatnya kita memang dah tersepit dan terkepit,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -