
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menzahirkan kebimbangan terhadap latihan komando melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berlaku di sebuah masjid baru-baru ini.
Beliau menyifatkannya perkara tersebut sebagai berpotensi mencetuskan ketegangan seperti peristiwa Memali tahun 1985 sekiranya tidak ditangani dengan berhemah.
“Kita tidak mahu berlaku peristiwa sebagaimana berlaku di Memali pada November 1985, orang kampung yang berada di rumah ibadat tiba-tiba dikenakan tindakan yang tidak sewajarnya.
“Mereka berada di tempat suci dengan perasaan dan keyakinan untuk menjaga rumah ibadat, tapi kalau ada sedikit provokasi, boleh berlaku pertumpahan darah,” katanya.
Menurut Setiausaha Agung PAS itu, tindakan APMM yang menjalankan latihan pasukan elit komando di kawasan masjid amat tidak wajar dan menimbulkan tanda tanya mengenai justifikasi pemilihan lokasi tersebut.
“Kenapa lokasi itu dipilih? Apa justifikasinya? Kalau nak buat latihan komando pun terpulang, tetapi APMM ni agensi maritim, kenapa buat di dalam masjid? Tak tahulah kalau itu masjid terapung,” ujarnya secara sinis.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Parlimen semalam ketika menjelaskan isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat berhubung insiden berkenaan.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk mempolitikkan isu ini, sebaliknya hanya menuntut penjelasan dan siasatan telus daripada pihak berkuasa.
“Kami bercakap berdasarkan fakta yang jelas. Laporan polis telah dibuat, maka setiap laporan mesti disiasat. Kita tidak sembunyikan apa-apa. Kami juga mempunyai rakaman penuh sepanjang kejadian ini berlaku,” jelasnya.
Takiyuddin turut menunjukkan kepada media rakaman video yang memaparkan beberapa individu berlari keluar dari masjid lalu menaiki sebuah kereta berwarna biru yang menunggu di luar sebelum memecut pergi.
“Aksi dalam video itu seolah-olah latihan menyelamat pun ada, latihan menculik pun ada. Jadi kita nak penjelasan, biar jelas apa sebenarnya berlaku,” tegas beliau sambil menambah bahawa beberapa individu dilihat membawa kasut masuk ke dalam kawasan masjid.
Beliau juga menolak dakwaan segelintir pihak yang menuduh Perikatan Nasional (PN) cuba mensensasikan isu ini.
“Banyak ‘cybertrooper’ yang menembak kami, kononnya kami nak sensasi. Tidak. Ini fakta. Kami sanggup disiasat oleh pihak berkenaan,” katanya lagi.
Sidang media tersebut turut disertai Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menunjukkan bukti tambahan berkaitan insiden berkenaan.
Takiyuddin menegaskan, pihak berkuasa termasuk polis perlu segera menyiasat laporan yang telah dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham di kalangan masyarakat. – *HARAKAHDAILY 24/10/2025*











