
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak menghormati sensitiviti umat Islam apabila menghidangkan minuman keras secara terbuka dalam sebuah majlis rasmi peringkat nasional baru-baru ini.
Razali yang hadir mewakili kerajaan negeri berkata, beliau dijemput ke pentas utama untuk mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2026 (COE TM’26), namun memilih meninggalkan majlis lebih awal selepas mendapati arak dihidangkan.
“Jika hendak minum arak sekalipun, hormatilah kami orang Islam yang berada dalam majlis rasmi. Tambahan pula, ketika itu persembahan kebudayaan sedang berlangsung, dibawa oleh pelajar-pelajar yang segak berpakaian kebangsaan,” katanya.
Menurut beliau, sebagai kementerian yang menjadi peneraju sektor pelancongan negara, MOTAC seharusnya lebih peka dan profesional dalam menganjurkan acara rasmi yang melibatkan tetamu pelbagai kaum dan agama.
“Majlis rasmi sepatutnya menjadi ruang meraikan kepelbagaian budaya secara harmoni, bukan menimbulkan ketegangan nilai serta memperlekeh prinsip Kesopanan dan Kesusilaan,” ujarnya.
Razali berkata, Terengganu sentiasa mengamalkan prinsip ‘Mesra Muslim’ dalam setiap program pelancongan negeri, namun tetap meraikan kehadiran pelancong bukan Islam dengan terbuka.
“Kami tidak menolak kehadiran sesiapa, tetapi biarlah majlis rasmi dijalankan dengan hormat-menghormati, menjaga sensitiviti semua pihak. Kami mohon pihak penganjur amalkan konsep ‘Mesra Muslim’ kepada bukan Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat untuk datang ke Terengganu bagi menikmati keindahan alam semula jadi dan warisan budaya negeri itu.
“Pakat mari Terengganu, negeri bahagia, alam semula jadi cantik, budaya menarik dan insya-Allah, orang-orangnya baik-baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2025











