
KANGAR: Dunia kembali menyaksikan usaha Amerika Syarikat merangka ‘pelan damai’ untuk Gaza, namun sejarah jelas menunjukkan hampir setiap pelan damai yang lahir daripada kuasa besar itu tidak pernah benar-benar berpihak kepada keadilan, sebaliknya terus mengekalkan kelebihan kepada pihak Zionis Israel.
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, rakyat Palestin kini berhadapan pilihan yang amat sempit, sama ada menerima pelan damai yang berat sebelah atau terus bertahan dalam penderitaan yang panjang.
Namun, bagi umat Islam seluruh dunia ujarnya, ada perkara yang jauh lebih besar daripada sekadar urusan politik dan diplomasi antarabangsa, iaitu kepercayaan bahawa Allah perancang sebenar di sebalik segala peristiwa.
Ahmad Adnan memetik ayat 54 dari Surah Ali Imran yang bermaksud, ‘Mereka merancang dan Allah juga merancang, sedangkan perancangan Allah adalah yang terbaik’.
Beliau menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pasif terhadap penderitaan Gaza.
Ketegasan dan keprihatinan terhadap isu Palestin mesti diterjemahkan melalui hati, doa dan tindakan.
“Gaza ialah cermin bagi iman kita. Setiap kali kita berdoa untuk mereka, sebenarnya kita sedang menyucikan hati dan memperbaharui kebergantungan kepada Allah,” katanya.
Tambah beliau, penderitaan Gaza perlu dijadikan pencetus kepada kesedaran dan perpaduan umat.
“Didik anak-anak tentang perjuangan Palestin, sebarkan kesedaran dengan hikmah, dan sokong usaha kemanusiaan dengan harta serta tenaga,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Tafaqquh, Dewan Ulamak PAS Pusat.
Ahmad Adnan turut menyeru agar umat Islam terus meneguhkan semangat perjuangan dan tidak terpedaya dengan gambaran seolah-olah musuh sedang menang.
“Kemenangan sejati adalah pada keteguhan iman dan moral umat Islam. Kita menang apabila tidak tunduk kepada kezaliman dan terus menegakkan kebenaran,” tegasnya.
Beliau menambah, Gaza perlu dilihat bukan sebagai pengakhiran, tetapi permulaan kepada kebangkitan baharu umat Islam.
“Dari kesakitan inilah akan lahir kekuatan baharu. Setiap runtuhan bangunan mungkin menandakan terbinanya generasi yang lebih sedar, berani dan bersatu,” katanya.
Menurutnya lagi, keyakinan terhadap janji Allah perlu terus dipupuk kerana setiap kezaliman ada hadnya.
“Bila mereka berada di puncak kekuasaan dan keangkuhan, itulah tanda permulaan kepada kejatuhan mereka kerana sunnatullah tidak pernah berubah,” ujar beliau.
Ahmad Adnan menegaskan bahawa isu Gaza bukan sekadar isu politik antarabangsa tetapi ujian terhadap keimanan dan keinsanan umat Islam.
“Mereka di sana berjuang dengan darah dan nyawa, kita pula mesti berjuang dengan doa, solidariti, sumbangan dan suara.
“Selagi kita teguh di sisi kebenaran, Allah tidak akan mensia-siakan perjuangan umat-Nya,” katanya. -HARAKAHDAILY 6/10/2025











