
MARANG: Umat Islam perlu melihat perjuangan rakyat Palestin sebagai isu maruah dan aqidah, bukan semata-mata perebutan tanah, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, meskipun rakyat Palestin dihalau, dibunuh, rumah dirobohkan dan tanah suci mereka dirampas, semangat juang tidak pernah luntur dalam kalangan generasi baharu.
“Setiap generasi lahir dengan jiwa pejuang, setiap anak membesar dengan semangat mempertahankan tanah air, kerana mereka yakin bahawa Palestin bukan sekadar tanah, tetapi maruah dan aqidah umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan dan Flashmob Solidariti Sumud Flotilla di Masjid Rusila, semalam.
Menurut Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang, perjuangan itu merupakan kesinambungan sejarah panjang sejak zaman Nabi Musa AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS hinggalah Khalifah Umar al-Khattab RA yang membuka Baitul Maqdis dengan keadilan Islam.
“Allah SWT telah menjanjikan bahawa cahaya Islam tidak akan pernah padam. Oleh itu, tugas kita ialah bersama perjuangan ini dengan jiwa kita, dengan doa kita, dan dengan harta kita,” katanya.
Untuk rekod, himpunan berkenaan diadakan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dilaporkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza, Khamis lalu.
Berdasarkan paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil di kapal Alma, serta artis Zizi Kirana di kapal Huga.
Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi menaiki kapal Sirius; Danish dan Farah Lee di kapal Grande Blu; manakala penyanyi Heliza Helmi bersama adiknya, Nur Hazwani Afiqah menaiki kapal Hio, pendakwah bebas Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang menaiki kapal Estrella, serta Ardell di kapal Mikeno. – HARAKAHDAILY 3/10/2025.











