Yakin Himpunan Tolak URA 4 Oktober ‘pecah panggung’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Sekretariat Himpunan Mega Tolak URA 2025, Ustaz Mohd Hafez Sabri optimis himpunan mega menolak Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan berlangsung pada 4 Oktober ini dengan jangkaan kehadiran besar daripada rakyat.

Beliau berkata, sejak setahun lalu, siri perbincangan, libat urus dan diskusi bersama ahli pakar, badan bukan kerjaan (NGO),  tokoh-tokoh individu (NGI) serta tokoh politik berhubung RUU berkenaan telah dijalankan.

Ia menurutnya, sekali gus melahirkan pelbagai resolusi penting dan telah disampaikan kepada semua pejabat Ahli Parlimen termasuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, di Parlimen dan Putrajaya.

“Usaha ini telah mendapat sambutan daripada pelbagai parti politik terutama di negara ini, NGO-NGO, persatuan-persatuan profesional yang mana semuanya membawa kepada satu resolusi bahawa RUU URA ini mesti ditolak,” ujarnya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu, himpunan rakyat di Parlimen sebelum ini berjaya memberi tekanan sehingga bacaan kali kedua RUU URA ditangguhkan, manakala semua pihak menuntut supaya rang undang-undang itu ditarik balik.

Beliau menegaskan penolakan RUU URA berpaksikan lima ancaman utama iaitu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, penindasan pemilik minoriti, tiada pampasan, pro kapitalis serta rompakan tanah rakyat.

“Sehubungan itu, tarikh 4 Oktober telah dipilih iaitu sebelum Persidangan Parlimen bermula. Lokasi himpunan adalah di hadapan Sogo, Kuala Lumpur pada jam 2 petang dengan tema baju berwarna hitam.

“Maka orang ramai para wartawan pengamal undang-undang, pemantau demokrasi serta seluruh pihak dijemput hadir bersama-sama menyatakan penolakan terhadap RUU URA ini.

“Perlu ditegaskan bahawa RUU URA ini ditentang oleh pelbagai lapisan masyarakat yang merentas kaum dan golongan yang memahami ancaman besar RUU URA ini terhadap masa depan negara dan rakyat,” tegasnya.

Apabila ditanya berkenaan perarakan, beliau menjelaskan, sebahagian besar peserta akan berarak dari Masjid Kampung Baru sebelum berkumpul di hadapan Sogo.

Jangkaan kehadiran?

Mengulas lanjut, beliau berkata jangkaan kehadiran rakyat setakat ini sangat memberangsangkan.

“Kita letakkan sebelum ni jangkaan kita kalau tengok dapatan terkini ni dari segi respond kehadiran, kehadiran rakyat ni kita confident pecah panggunglah, pecah panggung

“Mood setakat ni mood sangat-sangat positif. Kalau tengok di semua negeri ceramah-ceramah tolak URA ni sedang bergerak dengan rancak termasuk hingga hari ni, esok, lusa dan banyak.

“Dan saya dimaklumkan juga dalam tempoh terdekat ni program semakin padat hampir semua negeri dah buat himpunan ataupun ceramah tolak URA.

“Kemudian podcast-podcast pun tengah banyak sekarang ni. Kalau perasan di sosial media hari ni orang sedang bercakap tentang isu himpunan tolak URA ni.

“Keduanya insya-Allah hari Jumaat ni kita akan buat program besar-besaran, kita panggil flashmob di seluruh negara serentak pada hari Jumaat ni dan ini antara gelombang, gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak URA ni,” tambahnya.

Penyertaan Pemuda Umno?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Perak itu turut mengharapkan jawapan daripada Pemuda Umno untuk menyertai himpunan tersebut.

“Kita dah berhubung secara personal dengan dengan rakan-rakan daripada Umno dan dalam maklumat terkini ni kita masih lagi menanti persetujuan daripada rakan-rakan Umno khususnya Pemuda Umno untuk untuk menyatakan kehadiran mereka dalam himpunan ni ataupun tidak.

“Setakat ni kita punya hubungan cara orang kata berhubung secara terus ini adalah, ada berhubung cara baik dan adalah. Kita harap Pemuda Umno boleh turunkan pemuda dan ahli dia dalam himpunan hari Sabtu ini.

“Setakat ni surat-surat kita hantar kepada banyak pihak. Bukan, bukan hanya kepada Pemuda Umno. Banyak pihak kita hantar surat jemputan untuk hadir ke himpunan tolak URA pada hari Sabtu ini.

“Dan termasuklah, kita ada juga senarai senarai yang kita jemput untuk turun bersama dalam himpunan kita ni ialah di kalangan profesional. Profesional, ahli akademik, kemudian tokoh-tokoh yang bercakap tentang isu ni,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -