
MUQADDIMAH
Pemilikan seseorang ke atas tanah ada pelbagai kaedah, antaranya secara penerokaan (إحياء الموات), pusaka, pembelian, hibah atau lain lain. Pembelian adalah pemilikan yang paling kuat. Tetapi, tidak bermakna pemilikan dengan kaedah lain itu tidak kuat.
Di sana terdapat hadis Nabi SAW yang mengecam pihak yang merampas tanah yang diperolehi melalui penerokaan. Sabdanya;
مَن أحيا أرضًا ميتةً فَهيَ لَهُ، وليسَ لعِرقِ ظالمٍ حقٌّ
“Sesiapa yang meneroka tanah yang kosong, maka ia berhak ke atasnya, dan tidak ada hak bagi orang yang zalim.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan at Tirmizi)
Dalam Islam, jelas mengharamkan pengambilan tanah secara paksa (rampas). Berdasarkan hadis ini, sekiranya merampas tanah yang diteroka pun dianggap zalim, apatah lagi merampas tanah yang dimiliki secara pembelian.
Asal hukum mengambil harta orang lain
Pada umumnya, hadis tadi menegaskan larangan merampas tanah orang lain. Namun, di sana ada pengecualian yang dibenarkan di dalam Islam yang akan dihuraikan nanti. Antaranya seperti kerajaan contohnya, membeli tanah daripada pemilik tersebut, atau kerajaan perolehinya secara hibah (hadiah) atau sebagainya daripada pemilik.
Banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menggambarkan Islam meletakkan keutamaan kepada jaminan pemilikan peribadi dan keselamatan nyawa. Sabda Nabi SAW;
فإن دماءكم وأموالكم وأعراضكم حرام عليكم كحرمة يومكم هذا في بلدكم هذا في شهركم هذا
“…Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, kehormatan kalian itu haram terhadap kalian, seperti sucinya hari kalian ini di negri kalian ini di bulan kalian ini..” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru, hukum asal hukum kepada merampas harta orang lain adalah haram berdasarkan kaedah;
الأصل في مال الغير التحريم
‘Asal hukum pada harta orang lain adalah haram’
Keutamaan tidak menjual tanah
Situasi pemilik tanah menjual tanahnya kepada pemaju atau sesiapa sahaja, hukumnya asalnya adalah harus. Namun, di sana ada hadis yang mengutamakan agar tidak menjualnya di atas hujah-hujah tertentu. Nabi SAW bersabda;
مَنْ بَاعَ دَارًا وَلَمْ يَجْعَلْ ثَمَنَهَا فِي مِثْلِهَا لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهَا
“Sesiapa yang menjual tempat tinggalnya, sedangkan dia tidak menggantikannya dengan rumah atau tanah yang lain, maka jual belinya tidak diberkati.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Antara yang dihuraikan di dalam Syarah Misykat Masabih berdasarkan petikan hadis tadi,
يَعْنِي: بَيْعُ الْأَرَاضِي وَالدُّورِ وَصَرْفُ ثَمَنِهَا إِلَى الْمَنْقُولَاتِ غَيْرُ مُسْتَحَبٍّ، لِأَنَّهَا كَثِيرَةُ الْمَنَافِعِ قَلِيلَةُ الْآفَةِ لَا يَسْرِقُهَا سَارِقٌ وَلَا يَلْحَقُهَا غَارَةٌ بِخِلَافِ الْمَنْقُولَاتِ، فَالْأَوْلَى أَنْ لَا تُبَاعَ وَإِنْ بَاعَهَا فَالْأَوْلَى صَرْفُ ثَمَنِهَا إِلَى أَرْضٍ أَوْ دَارٍ
“Iaitu menjual tanah dan rumah, lalu duit jualan itu digunakan untuk membeli sesuatu yang boleh berpindah, hukumnya tidak digalakkan. Kerana manfaatnya banyak dan sedikit rintangan. Ia (tanah) tidak dicuri, terselamat dari rompakan, berbeza dengan sesuatu yang boleh berpindah. Maka yang lebih utama tidak menjualnya. Jika terpaksa menjualnya, lebih patut duit jualan itu digunakan untuk beli rumah atau tanah yang lain.”
Merampas tanah menggunakan undang-undang
Situasi pemaju merampas tanah (mengambil secara paksa) sama ada dengan menggunakan saluran undang-undang atau tidak, ia dikira haram selagi mana tiada dalil yang membenarkan. Perkara ini jelas haram kerana sewenang-wenangnya merampas hak orang lain, sekalipun dengan kebenaran undang-undang ciptaan manusia.
Dalam konteks perundangan, manusia dibenarkan merangka undang-undang dan menggazetkannya selagi mana tidak menyalahi syara’. Undang-undang buatan manusia tidak semestinya sah di sisi syara’. Sekiranya undang-undang tersebut menyalahi syara’, ia tidak wajar dipatuhi, bahkan perlu ditentang. Apatah lagi dalam situasi merampas tanah dengan menggunakan undang-undang.
Perkara ini digambarkan melalui dialog antara Nabi SAW dengan Adiy bin Hatim yang menggambarkan orang-orang Kristian menyembah para paderi mereka;
احلوا لهم الحرام وحرموا عليهم الحلال فاطاعوهم وكانت هذه عبادتهم اياهم
“Para paderi itu menghalalkan apa yang haram, dan mengharamkan apa yang halal, lalu pengikut mereka mentaatinya, itulah yang dimaksudkan mereka menyembah paderi mereka.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Kampung Sungai Baru dan Kampung Jinjang
Di Kampung Sungai Baru, pemilikan di situ bergeran, duduk secara sah, sama ada secara hukum, mahupun undang-undang. Berbeza dengan Kampung Jinjang (setinggan). Penduduk Kampung Jinjang memperolehi tanah tersebut melalui penganugerahan (الاقطاع). Iaitu ‘allocation’ ? dalam projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).
Penggazetan ini dibuat sebelum Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 1965) yang mengambil model dari sistem Torren yang diamalkan di Australia. RTB digazetkan ketika itu kepada mana mana masyarakat berbangsa Cina, yang disahkan tidak terlibat dengan Gerakan Komunis, dan kawasan tersebut dikawal oleh pasukan keselamatan.
Selepas itu, kawasan RTB berkembang fungsinya menjadi pusat ekonomi melalui penerokaan pada sudut pertanian dan ekonomi komersial.
Walaupun mereka tinggal di tanah tersebut secara setinggan dan tidak memiliki geran, mungkin kerana kesilapan yang dibuat oleh generasi awal yang duduk di sana, namun ia adalah sah mengikut syara’ melalui kaedah الإقطاع tadi. Ini kerana sistem Islam lebih awal berbanding Torrens System.
Namun, situasi di Kampung Jinjang berbeza dengan Tanah di Sungai Baru. Penduduk Kampung Sungai Baru memperolehinya secara beli, kemudian dipusakakan turun temurun. Justeru, pemilikannya lebih kuat. Namun, tidak bermakna pemilikan tanah di Kg Jinjang itu lemah.
Akad Iz’an (Paksaan)
Sekiranya pemilik tanah Kampung Sungai Baru ingin menjual tanah mereka kepada pemaju, atau menghadiahkannya, tiada masalah. Namun, ia tetap terikat dengan syarat lain yang akan dihuraikan selepas ini. Pemilik itu berhak ke atas tanahnya. Mereka berhak untuk tidak mahu menjualnya, apatah lagi menyerahkannya.
Sekiranya pihak tertentu seperti pemaju menggunakan saluran undang-undang untuk mengambil tanah tersebut secara paksa, tetap tidak dibenarkan oleh Syara’. Sekiranya wujud paksaan dalam pengambilan tersebut, maka proses tersebut diharamkan dalam Islam. Perkara ini termasuk dalam kategori jual beli yang dilakukan secara paksa.
Di dalam Fiqh, jual beli secara paksa disebut dengan Akad Iz’an (إذعان), dan ia dikira sebagai tidak sah. Perkara ini dijelaskan di dalam al Quran;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” (Surah an Nisa: 29)
Justeru, dalam konteks Kampung Sungai Baru, sekiranya pihak pemaju ‘membeli’nya secara paksa, tetap tidak sah di sisi Islam, kerana wujudnya unsur paksaan. Apatah lagi jika pihak pemaju mengambilnya secara paksa (merampas), sekalipun dibayar dengan pampasan dan dilakukan melalui saluran undang-undang.
Akad Fudhuli (Jual hak orang lain)
Di dalam Fiqh, terdapat perbincangan mengenai Al Bai’ Al Fudhuliy (البيع الفضولي). Iaitu satu kaedah jual beli yang diperselisihkan di kalangan fuqaha’. Kaedah jual beli البيع الفضولي ini bermaksud menjual sesuatu yang bukan menjadi miliknya.
Nabi SAW bersabda;
لا تبع ما ليس عندك
”Jangan kamu jual apa yang tiada di sisi kamu.”
Dalam situasi rumah flat, masing masing berkongsi dalam satu binaan. Tidak ada masalah sekiranya ia dijual kepada orang lain, asalkan tidak melibatkan hak orang lain. Namun, sekiranya melibatkan hak orang lain, ia sudah dikira sebagai Akad Fudhuli.
Contohnya apabila seorang pemilik menjual rumah flatnya kepada pemaju yang akan merobohkan bangunan flat itu untuk dibina bangunan yang baru, ia dikira sebagai Akad Fudhuli. Ini kerana perobohan bangunan itu sudah pasti tidak hanya melibatkan hak penjual itu, sebaliknya turut ‘merobohkan’ hak penduduk lain yang tidak mahu menjualkan flatnya.
Contohnya flat di Kampung Sungai Baru. Sekiranya persetujuan penduduk mencapai 70 peratus untuk menjual rumah flat masing masing sekalipun, tidak berhak untuk mereka memaksa 30 peratus yang lain turut bersetuju. Bangunan Flat tak boleh dirobohkan oleh pemaju dengan hanya sekadar mendapat persetujuan 70 peratus.
Bahkan, mereka yang termasuk dalam 70 peratus itu juga dilihat termasuk dalam Akad Fudhuli, iaitu dengan menjual haknya, menjejaskan hak orang lain sama, kerana masing-masing berkongsi dalam sebuah bangunan flat.
Apa yang terjadi di Sungai Baru, ia lebih jelas bercanggah dengan syara’ apabila persetujuan 70 peratus penghuni rumah flat, turut ‘melanggar hak 30 peratus penduduk yang tidak bersetuju. Lebih teruk apabila 70 peratus itu turut menjejaskan hak majoriti penduduk rumah teres yang mempunyai geran mereka yang tersendiri.
Pengecualian ketika darurat
Sekiranya flat tersebut sudah terlalu usang, dan dipastikan membahayakan nyawa kejiranan yang lain, pihak berkuasa boleh bertindak memperbaiki atau apa jua kaedah yang sesuai, sekalipun tidak dapat persetujuan 100 peratus. Ini kerana isu keselamatan yang mencapat tahap dhoruri boleh mengharuskan perkara yang dilarang. Kaedah Fiqh menyebut;
الضرورة تبيح المحظورات
‘Perkara yang darurat boleh mengharuskan perkara yang dilarang.’
Namun, sekiranya rumah flat itu tiada masalah keselamatan yang mencapai tahap ‘dhoruri’, ia masih kekal dengan hukum asal, perlu dapat persetujuan 100 peratus.
Pemaju yang ingin merobohkannya untuk membina flat yang lebih cantik bukanlah perkara ‘dhoruri’. Maka ia perlu persetujuan 100 peratus penduduk sepertimana yang dinyatakan di dalam kaedah di atas. Ini kerana setiap penghuni mempunyai hak masing-masing yang tidak boleh dilanggar sewenang-wenangnya.
Kesimpulan
Justeru, dalam perbincangan mengenai situasi di Kampung Sungai Baru, ada 3 perkara yang telah melangkaui hak yang dibataskan oleh Allah SWT, iaitu
1. Akad Iz’an (Jual beli yang dipaksa).
2. Akad Fudhuli (Jual beli yang bukan haknya).
3. Merampas hak orang lain sekalipun sah di sisi undang-undang.
Perkara ini dikira haram kerana menjual hak orang lain, dan merampas hak orang lain dikira sebagai satu bentuk kezaliman yang mesti ditentang.
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
Catatan daripada pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Zaharuddin Muhammad – HARAKAHDAILY 1/10/2025











