Apa ada di sebalik proposal gencatan senjata Trump?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan cadangan gencatan senjata yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung perang Gaza sebagai strategi untuk menyelamatkan Israel.

Beliau berkata, Trump dengan bangga mengumumkan gencatan senjata itu akan dicapai dalam masa terdekat antara Harakah Muqawamah Islamiah (HAMAS) dan negara haram Israel dengan mengemukakan 20 cadangan.

“Dari jumlah itu, tidak ada walaupun satu kecaman ke atas Israel yang melakukan pelbagai jenayah ke atas rakyat Palestin. Dalam masa yang sama, tidak ada satu jaminan penamatan pencerobohan ke atas bumi Palestin khususnya Tebing Barat,” ujarnya dalam kenyataan.

Dr Khalil berkata, Trump mahu menamatkan perang Gaza kerana beberapa objektif termasuk penumpuan kepada politik dalaman Amerika Syarikat, menyelamatkan Israel dan merapatkan kembali hubungan dengan sekutu negara-negara Arab.

“Persoalannya, kenapa (Perdana Menteri Israel, Benjamin) Netanyahu dengan mudah menerimanya? Seolah-olah ada sesuatu yang sedang dirancang di belakang tabir.

“Gencatan senjata di atas lebih kepada strategi melambatkan pergerakan untuk mencapai objektif yang lebih utama iaitu menyelamatkan Israel, meluaskan kuasanya serta menghapuskan musuh yang lebih utama,” jelasnya.

Beliau berkata, umum mengetahui sasaran utama Israel ialah Republik Islam (RI) Iran, malah penangguhan perang Gaza akan menyelamatkan Israel untuk memberi penumpuan terhadap agenda peluasan Israel (Israelraya) serta menghapuskan ancaman jangka panjang khususnya RI Iran dan jaringannya di Timur Tengah.

Menurutnya, Israel tidak mampu menyerang RI Iran melainkan dengan bantuan Amerika Syarikat, namun perang 12 hari pada Jun lalu yang dilancarkan Israel ke atas negara itu gagal mencapai objektif menghapuskan kepimpinan Iran serta menjatuhkan kerajaan.

“Walaupun gencatan senjata yang bakal berlaku dijangka akan meredakan buat sementara waktu keperitan rakyat Gaza, namun harapannya tidaklah meyakinkan kerana beberapa kali ianya telah dilanggar oleh Zionis Israel.

“Perang Taufan al-Aqsa yang akan memasuki tahun ketiga benar-benar menjadi igauan ke atas Israel. Mitos tentera yang tidak dapat dikalahkan hanya omong kosong.

“Topeng kejahatan sebenar Zionis Israel tersingkap di mata masyarakat antarabangsa yang tidak dapat disembunyikan lagi. Kebenaran pasti menang dan kebatilan pasti tumbang,” katanya.

Terdahulu media antarabangsa melaporkan Trump mengumumkan Netanyahu bersetuju menyokong pelan damai Gaza tajaan Washington yang merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan, pengunduran tentera Israel, pelucutan senjata HAMAS dan pembentukan kerajaan peralihan.

Sidang media di White House itu berlangsung ketika serangan darat Israel semakin hebat di Gaza, manakala HAMAS belum memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan berkenaan.

Pemimpin pembangkang Israel, Benny Gantz dan Yair Lapid turut dilaporkan menyokong pelan tersebut yang disifatkan sebagai peluang menjamin keselamatan Israel dan membebaskan tebusan. – HARAKAHDAILY 1/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -