HCM: Bersih, indah, lestari alam dari amalan rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 bukan semata-mata aktiviti gotong-royong, malah menjadi manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

- Advertisement -

Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu melambangkan kesepaduan masyarakat yang selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memupuk nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian.

“Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran,” katanya berucap merasmikan majlis berkenaan.

Beliau berkata, bandar yang bersih bukan sahaja mencerminkan imej negeri, malah memberi keselesaan kepada penduduk serta mampu menjadi daya tarikan pelancong.

“Kita percaya, bandar yang bersih dan indah menarik kehadiran pelancong ke negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri itu di Dataran Batu Buruk, di sini.

Untuk rekod, program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan serentak di seluruh negara dengan penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Antara pengisian program termasuk pembersihan kawasan sekitar, penutupan tapak sampah haram, kempen kitar semula dan kempen mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Dalam masa sama, syarikat RD Paper dan Sally Global turut membuka booth e-waste serta kaunter pembelian minyak masak terpakai bagi memberi kemudahan kepada orang awam melibatkan diri dalam aktiviti kitar semula.

Wan Sukairi berkata, kebersihan bukan tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya amanah bersama yang mesti dipikul oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya menyeru agar semua pitak sama ada agensi kerajaan, PBT, NGO, pihak swasta mahupun orang awam trus berganding bahu menjayakan inisiatif kebersihan seperti ini.

“Kebersihan bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan, tetapi amanah bersama yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.

“Budaya menjaga kebersihan periu diamalkan setiap hari daripada membuang sampah di tempatnya, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -