
IPOH: Kritikan terhadap kenyataan Ketua Polis Kelantan berhubung isu rogol statutori disifatkan sebagai tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada usaha pembangunan sahsiah dan langkah pencegahan yang lebih menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, kenyataan itu perlu dilihat dari kapasiti seorang pemimpin keselamatan yang bertanggungjawab menjaga masyarakat daripada keruntuhan akhlak, bukan dihukum dengan persepsi sempit.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia menegaskan, pandangan dikemukakan oleh Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusoff Mamat harus difahami sebagai satu usaha pencegahan, bukan sebagai hukuman kepada mangsa.
“Polis bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, bahkan mereka menggalas tanggungjawab besar untuk mencegah kerosakan masyarakat. Hari ini kita berdepan dengan fenomena ‘grooming’ dan pergaulan bebas yang subur melalui media sosial.
“Di sinilah kita memerlukan bukan sahaja undang-undang yang tegas, tetapi juga pendidikan akhlak, pendekatan dakwah dan penglibatan ibu bapa secara lebih serius,” katanya.
Menurut Mohd Hafez, Islam mengajar umatnya bahawa menjaga maruah anak-anak adalah satu amanah yang sangat besar, selari dengan Hadis Rasulullah SAW bahawa, setiap individu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya mengenai kepimpinannya.
Tambah beliau, Mohd Yusoff hanya membicarakan satu mekanisme baharu secara teknikal dalam usaha membendung kes rogol suka sama suka, dan bukannya menafikan peruntukan undang-undang sedia ada dalam Kanun Keseksaan.
“Lim Guan Eng sepatutnya berterima kasih kepada Ketua Polis Kelantan kerana mengkaji dan berusaha membenteras isu jenayah ini dengan cara yang lebih produktif,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Hafez berkata, walaupun Seksyen 375 Kanun Keseksaan mengkategorikan hubungan seksual dengan gadis bawah 16 tahun sebagai rogol, realiti di lapangan menunjukkan ada kes yang berpunca daripada kurangnya didikan dan kesedaran.
Justeru, beliau mencadangkan satu rangka pencegahan baharu yang lebih menyeluruh meliputi pindaan undang-undang, pemerkasaan pendidikan seks berteraskan Islam, program dakwah dan tarbiah, serta intervensi awal melalui kaunseling wajib.
“Pencegahan adalah lebih utama daripada rawatan. Jika kita menunggu sehingga berlaku jenayah, ia sudah terlambat. Kenyataan Ketua Polis Kelantan adalah suara amaran agar kita bangkit menjaga anak-anak kita sebelum lebih ramai yang menjadi mangsa.
“Janganlah ia dipolitikkan sehingga mesej pencegahan yang penting ini tenggelam dalam polemik sempit,” tegasnya turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pendakwah, kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Gesa Mohd Hafez, semua pihak perlu bersama untuk bersatu mencari kaedah terbaik bagi menyelamatkan generasi muda daripada jenayah seksual dan seks bebas.
Sebelum ini, Mohd Yusoff mencadangkan supaya tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap perempuan yang terbabit dalam hubungan seks bawah umur sekiranya terbukti rela, bagi membendung trend peningkatan kes rogol melibatkan remaja. – HARAKAHDAILY 26/9/2025











