
KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan menegaskan penyelesaian kes rogol bawah umur perlu dikembalikan kepada pendekatan Syariah, bukan sekadar bergantung kepada undang-undang ciptaan manusia.
Ketua Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung cadangan meneliti semula undang-undang sedia ada harus dilihat dalam kerangka Islam yang lebih menyeluruh.
“Statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka dan hakikat itu menzahirkan keruntuhan akhlak serta kecuaian menjaga batas syarak.
“Perkara ini bukan sekadar isu lelaki atau perempuan semata-mata. Kedua-duanya mesti dipertanggungjawabkan jika terbukti bersalah, namun penyelesaian sebenar ialah melalui undang-undang Allah yang mencegah sejak dari akar,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menjelaskan, Islam memandang serius jenayah zina dan rogol kerana ia mengancam maruah serta keturunan masyarakat.
“Hukuman yang ditetapkan dalam Syariah pula bukan hanya untuk menghukum, tetapi mendidik dan mencegah,” tegasnya yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Katanya lagi, laporan Jabatan Pendaftaran Negara yang merekodkan lebih 83,000 anak luar nikah antara tahun 2017 hingga 2021, termasuk lebih 500 kes setahun di Kelantan, adalah bukti jelas kegagalan sistem sekular menangani isu sosial.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Kelantan menyeru masyarakat supaya kembali pada penyelesaian Islam sebenar kerana hanya undang-undang Islam yang mampu melindungi maruah dan membina masyarakat bermaruah. – HARAKAHDAILY 26/9/2025











