Kelantan perkasa perundangan cegah zina remaja

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah memperuntukkan kesalahan zina, mukadimah zina, ikhtilat dan khalwat dengan denda minima selaras dengan bidang kuasa yang terhad menurut Akta Mahkamah Syariah 1965.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Mohd Asri Daud berkata usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan berterusan dalam membendung gejala sosial remaja.

“Kaunseling dan nasihat daripada penguatkuasa agama wajar dilihat sebagai usaha berkesan untuk mencegah remaja daripada terjerumus dalam perbuatan zina.

“Langkah ini bukan sahaja berfungsi sebagai penguatkuasaan undang-undang, bahkan juga pendidikan dan pemulihan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, cadangan Ketua Polis Kelantan supaya undang-undang sedia ada berkaitan kes rogol bawah umur atau statutory rape diperhalusi semula adalah bertepatan dengan hukum Islam.

“Dalam Islam, zina iaitu persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah jenayah.

“Pendedahan Ketua Polis Kelantan bahawa 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku atas dasar suka sama suka menunjukkan ia sebenarnya kes zina.

“Namun undang-undang sedia ada hanya menghukum lelaki sahaja, sedangkan dari sudut keadilan Islam, kedua-duanya perlu menerima hukuman,” ujarnya.

Menurutnya, undang-undang tersebut wajar disemak semula agar perbuatan zina suka sama suka dalam kalangan remaja dapat dibanteras secara menyeluruh.

“Kerajaan Persekutuan sudah sampai masanya memikirkan pindaan undang-undang yang lebih berkesan dan adil bagi membendung masalah ini.

“Selain itu, PAS Kelantan berpandangan langkah pencegahan zina boleh dilakukan melalui nasihat, kaunseling, hukuman takzir dan ‘restoratif’,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2025

- Advertisement -