Kes rogol bawah umur perlu keadilan undang-undang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu seks bawah umur bukan sekadar soal suka sama suka, sebaliknya membabitkan juga masa depan anak-anak, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dakwah Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri.

- Advertisement -

Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah menjelaskan, kerana ia berkait sama keadilan undang-undang yang menetapkan 16 tahun sebagai umur ‘consent’ dan ia ada sebab tersendiri sejak dahulu, namun jika mahu dipinda wajar dinaikkan kepada 18 tahun.

“Umur 16 baru mula menjejak alam matang, manakala pada usia 18 barulah seseorang dianggap cukup dewasa, sekali gus selari dengan takrif kanak-kanak dalam Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Namun beliau mempersoalkan mengapa dalam kes seks bawah umur hanya pihak lelaki dihukum, sedangkan banyak kes berlaku atas dasar suka sama suka.

“Remaja lelaki 16 tahun boleh disabitkan kesalahan berat, tetapi pasangannya hampir selalu dianggap mangsa automatik walhal dia juga membuat pilihan,” ujarnya.

Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang menjelaskan, ketidakseimbangan yang perlu ditegur kerana prinsip keadilan menuntut pertanggungjawaban bersama.

“Kalau benar bawah 18 itu belum matang, maka kedua-duanya perlu dilindungi dan dibimbing. Bukan seorang dihukum keras, seorang lagi dilepaskan,” katanya lagi.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka mencadangkan dua perkara iaitu had umur ‘consent’ dinaikkan kepada 18 tahun dan membezakan jenis kes yang berlaku.

“Jika ada paksaan, ugutan atau jurang kuasa maka hukuman keras kepada pelaku dominan. Tetapi jika suka sama suka sesama remaja, tindakan berbentuk pemulihan dan ‘restoratif’ lebih wajar,” ujarnya.

Menurutnya, Islam menegaskan zina adalah dosa dua pihak, justeru undang-undang juga mesti adil dalam menyampaikan mesej yang sama.

“Kita mahu undang-undang yang melindungi, bukan menghukum secara berat sebelah. Kita mahu anak-anak jelas seks bawah umur tetap salah, tetapi keadilan mesti ditegakkan dengan saksama.

“Mesejnya mudah, lindungi remaja dengan undang-undang yang bijaksana, bukan semata menghukum satu pihak dan melepaskan yang lain,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 26/9/2025

- Advertisement -