Benih udang galah, lampam dilepaskan di Sungai Setiu

Dr Azman (tiga dari kiri) melepaskan benih ikan di Pengkalan Beris Tok Ku
- Advertisement -

SETIU: Sebanyak 30,000 benih udang galah, 22,000 benih lampam sungai dan 1,000 anak ikan baung dilepaskan di Pengkalan Beris Tok Ku, di sini semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim menyempurnakan pelepasan tersebut.

Ia dilaksanakan menerusi program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur yang dilaksanakan di setiap daerah setiap tahun bagi memperkayakan sumber perikanan darat di Terengganu.

“Jangan ada aktiviti menuba, mengebom dan mengkaran ikan kerana semua ini hanya akan merosakkan sumber serta ekosistem. Sumber yang ada penting untuk generasi akan datang, sebolehnya biarlah anak cucu kita turut merasai hasilnya nanti,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid dan Pengarah Pertanian Negeri, Dr Sukati Sakka serta Timbalan Pengarah Perikanan Negeri, Hasniah Othman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Bagi tahun 2025, sehingga hari ini di pelbagai lokasi serata negeri kerajaan negeri telah melepaskan lebih 800,000 anak benih ikan dan udang ke perairan umum dengan sasaran bagi tahun ini ialah sekitar 1 juta anak benih pelbagai spesis.

Program berkenaan bukan sahaja dilihat mampu menyokong kelestarian ekosistem sungai, malah dapat meningkatkan pendapatan komuniti nelayan darat.

Pada majlis sama, seramai 31 nelayan turut menerima bantuan peralatan menangkap ikan, melibatkan 16 penerima dari daerah Besut dan 15 lagi dari Setiu, selain penyerahan insentif input akuakultur. – HARAKAHDAILY 26/9/2025

- Advertisement -