
KUALA NERUS: Projek pembaikan jalan di Kampung Tanjung, Batu Rakit yang rosak akibat hakisan kini menghampiri fasa akhir dan dijangka diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 7 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kerja baik pulih jalan tersebut kini sudah mencapai hampir 99 peratus kemajuan.
Beliau berkata, selain projek jalan, pembinaan benteng pemecah ombak turut giat dilaksanakan dengan 13 daripada 16 unit telah siap dibina, melibatkan kemajuan keseluruhan kira-kira 47 peratus.
“Saya berharap menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November ini, projek ini dapat memberi perlindungan sekali gus menyelamatkan kawasan yang sebelum ini sering terjejas teruk akibat hakisan,” katanya memetik laporan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kerja Raya, Anuar Mohd Azlan, Jurutera Daerah Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Kuala Nerus, Ir Aisyah Abu Bakar serta Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Hanafiah turut mencadangkan penambahan pasir di beberapa lokasi tumpuan seperti berhampiran Kedai Pok Nong dan Warung Adik-Beradik bagi memperkukuh perlindungan kawasan pantai.
“Langkah ini diharap dapat memberikan perlindungan tambahan dan memastikan kawasan tersebut lebih selamat menjelang musim monsun kali ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual tanpa tambahan kos, manakala rumah biru yang hampir runtuh akibat hakisan sebelum ini kini lebih stabil.
“Rumah biru nampaknya sudah tidak kritikal,” katanya merujuk kepada keadaan terkini sekitar banglo biru selepas hampir roboh akibat hakisan teruk yang mula berlaku pada awal tahun ini. – HARAKAHDAILY 25/9/2025











