
KOTA KINABALU: PAS Sabah menegaskan bahawa parti itu tidak pernah membincangkan soal calon Ketua Menteri, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Ketua Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah berkata, fokus utama PAS ketika ini adalah memastikan kemenangan bersama gabungan PN, manakala isu kepimpinan negeri hanya akan dibincangkan secara muafakat selepas mandat rakyat diperoleh.
“Segala keputusan mengenai calon Ketua Menteri mesti dilakukan secara kolektif dalam PN.
“Kami tidak akan bertindak sendirian kerana perjuangan politik Sabah menuntut kesepaduan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan demikian sebgai respons terhadap cadangan pihak tertentu yang menamakan Datuk Dr. Aliakbar Gulasan sebagai calon Ketua Menteri.
Menurutnya, kenyataan itu timbul kerana Pesuruhjaya PAS negeri dilihat berwibawa, berilmu dan berpotensi besar dalam politik Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Dr. Aliakbar selama ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan dengan penuh komitmen tanpa menuntut sebarang jawatan, sejajar dengan prinsip perjuangan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan mengejar kedudukan.
“Pandangan luar yang menilai beliau sebagai tokoh berpotensi besar adalah satu pengiktirafan.
“Namun PAS Sabah berpandangan pengiktirafan itu harus diterjemahkan kepada kemenangan bersama PN terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa keutamaan PAS Sabah adalah memperkukuhkan kesatuan dan keutuhan PN Sabah.
Jelasnya, hanya melalui persefahaman dan strategi bersama, PN mampu menawarkan kepimpinan yang stabil dan berwibawa kepada rakyat negeri ini.
“Rakyat lebih memerlukan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, pembangunan dan kesejahteraan berbanding spekulasi politik mengenai jawatan,” ujarnya.
Katanya, PAS Sabah kekal komited memperjuangkan kepentingan rakyat dalam kerangka PN, selain memastikan aspirasi rakyat Sabah didengari serta dihormati oleh kerajaan yang bakal dibentuk. – HARAKAHDAILY 19/9/2025











