Utama usaha satukan Melayu, baru calonkan PM

‘Bila menang baru pilih Perdana Menteri’ - Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada gunanya mana-mana pihak berebut untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya parti mereka gagal mencapai kemenangan majoriti dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau berkata, seorang calon hanya boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya partinya menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Namun jelasnya, perkara itu mustahil berlaku jika parti berkenaan tidak mampu meletakkan calon yang mencukupi dan terpaksa berdepan saingan daripada parti lain.

“Calon tidak akan jadi Perdana Menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi. Untuk menang 112 kerusi, partinya perlu letak lebih daripada 112 (calon). Parti lain pun akan letak calon melawan partinya.

“Tidak mungkin partinya menang 112 kerusi. Tidak mungkin calon Perdana Menteri, jadi Perdana Menteri,” jelasnya dalam kenyataan di media sosial miliknya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menasihatkan semua pihak supaya tidak berebut-rebut untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, sebaliknya memberi keutamaan kepada usaha menyatukan orang Melayu demi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

“Setelah menang barulah pilihan Perdana Menteri dibuat. Semua yang berbakat boleh bertanding untuk jadi Perdana Menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -