Calon Perdana Menteri: PN tak perlu layan naratif lawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menegaskan Perikatan Nasional (PN) memadai dengan cadangan nama sudah berhubung bakal Perdana Menteri (PM).

“Cukup. Tidak perlu layan naratif lawan siapa nak jadi PM. Nama-nama telah dicadangkan. Itu sudah memadai. Sampai masanya nanti, akan terlantik siapapun yang mendapat sokongan majoriti.

“Dan (seterusnya) diperkenan oleh YDPA (Yang di-Pertuan Agong). Itu aturan dalam Perlembagaan Persekutuan. Semua pihak kena hormatinya.

“Bincang tentang ciri-ciri pemimpin, itu tiada masalah. Bahkan ia memang ada disebut dalam Al-Quran, dalam Hadis,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PN berkata, ketika ini kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin lemah dengan pertentangan dalaman yang ketara sesama parti komponen.

“Sekarang ini PH-BN semakin lemah. Mereka sedang bercakaran sesama sendiri. Umno bercanggah dengan DAP. DAP bercanggah dengan MCA. PKR bercanggah dengan ketua mereka sendiri. PAN, tak tahu siapa yang mereka sokong, siapa yang mereka bantah.

“Semua pertentangan sesama mereka ini dapat dilihat ketara, dalam Parlimen dan luar Parlimen. Sekarang mereka mahu menutup kelemahan Madanon dengan cara melaga-lagakan rakan-rakan dalam PN,” jelasnya.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, PN tidak perlu melatah, sebaliknya mengekalkan semangat sebagai rakan setara dalam membuat keputusan.

“Tak perlu jadi abang besar atau abang kecil. PN adalah rakan yang setara. _Equal partner_. Memberi pandangan atau cadangan, itu biasa. Itu hak parti masing-masing.

“Semua pandangan dan cadangan perlu dibawa ke meja rundingan. Bawa hujah, bawa justifikasi, bawa data, bawa bukti. Bincang dan putuskan di situ, secara konsensus. Itu cara PN,” tegasnya.

Afnan menegaskan, PN perlu menjadi teladan kepada rakyat dengan meletakkan kepentingan organisasi, negara dan agama mengatasi kepentingan peribadi.

“PN kena tunjuk contoh. Kena jadi _‘role model.’_ Rakyat sedang beri harapan tinggi kepada PN untuk gantikan Madanon. Jangan bawa masuk budaya parti lain dalam PN.

“Orang yang ada kepentingan peribadi tidak boleh ada dalam PN. Kalau ada orang macam tu, sila cari jalan keluar.

“Jaga organisasi, jaga rakyat, jaga negara, jaga agama, semua itu lebih utama daripada jaga kehendak individu,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -