Kuasa dan harta ujian berat: Setuju Tun Faisal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff menyatakan beliau bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berhubung tulisan bertajuk ‘Kuasa, Harta dan Penyakit Hati’.

“Saya bersetuju dengan tulisan Tun Faisal. Pagi ini ramai yang bertanya dan meminta pandangan saya mengenai tulisan Ketua Penerangan BERSATU itu. Mereka rasa tulisan tu macam tuju kepada PAS.

“Macam nilah ya, pada saya tulisan Tun Faisal ni adalah tulisan yang sangat baik. Dia mengingatkan semua bahawa kuasa dan harta adalah ujian paling berat.

“Sifat angkuh, ujub, lalai, kufur nikmat dan mungkir janji hanya akan membawa kehancuran kepada diri, rakyat dan negara,” ujar Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu di media sosial miliknya.

Beliau menegaskan, tulisan itu tidak ditujukan kepada PAS kerana sejarah menunjukkan parti itu telah beberapa kali melepasi ujian kuasa dan harta.

“Sebab tu bila orang kata Tun Faisal tujukan kepada PAS aku tak setuju. Sebabnya, Tun Faisal dan pimpinan BERSATU sangat tahu, PAS sudah banyak kali melepasi ujian kuasa dan harta.

“Mereka tahu bukan kali pertama Tuan Guru Presiden PAS menolak peluang untuk memegang kuasa. Kalau nak kuasa banyak dah ruang dan peluang, tapi Tuan Guru Presiden telah tunjukkan contoh dan tauladan kepada kita.

“Tun Faisal dan pimpinan BERSATU juga amat maklum kenapa perwakilan PAS yang mahu PAS ambil alih kepimpinan PN (Perikatan Nasional),” jelasnya.

Menurutnya, PAS dan BERSATU perlu memahami bahawa perjuangan ini adalah perjalanan berterusan yang memerlukan kesepakatan dan saling melengkapi.

“Mereka faham, perjuangan ni bukan larian pecut seorang pelari, tetapi larian berganti-ganti. BERSATU sudah lama memimpin PN, dibantu sepenuhnya oleh jentera PAS yang setia di belakang.

“Kini, ketika BERSATU berdepan cabaran dalaman yang perlu diberikan perhatian, sudah tiba masanya PAS pula mengambil baton untuk meneruskan larian perjuangan ini, dengan Bersatu tetap berada bersama di belakang PAS.

“Tun Faisal dan pimpinan BERSATU mesti perasan, sepanjang ucapan dan perbahasan dalam muktamar semalam, tidak ada seorang pun perwakilan PAS yang menyebut kelemahan atau kekurangan Bersatu.

“Begitulah cermat dan berdisiplinnya ahli PAS dalam memberikan pandangan, kerana yang difikirkan adalah masa depan bersama, bukan kelemahan sahabat seperjuangan,” kupasnya.

Beliau optimis PAS dan BERSATU mampu memperkukuh kerjasama dalam PN untuk mara lebih yakin ke arah kemenangan.

“Tun Faisal dan pimpinan BERSATU juga kita yakin sangat berjiwa besar dalam isu ni. Mereka juga mahu pastikan PN terus melangkah gagah, bukan sekadar bertahan tetapi mara lebih yakin menuju kemenangan.

“Dah tulisan Tun Faisal ni tuju kepada sapa? Saya yakin, tulisan ini lebih ditujukan kepada PMX (Perdana Menteri ke-10) dan Kerajaan Madani sebagai peringatan.

“Ingatan supaya jangan bersifat angkuh, ujub, lalai, kufur nikmat dan mungkir janji. Sekarang ni semua sifat yang disebut oleh Tun Faisal kan ada pada Kerajaan Madani.

“InsyaAllah PAS dan BERSATU akan terus bergerak seiring, saling melengkapi, dan Insya-Allah bersama-sama menumbangkan PMX dan Kerajaan Madani dalam PRU16. Itulah hasrat rakyat Malaysia. Dan aku yakin Tun Faisal dan pimpinan BERSATU faham hasrat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -