MIPP perlu fahami dasar perjuangan PAS – DHPP

Dr Balachandran Gopal Krishnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) wajar memastikan ia benar-benar memahami realiti politik semasa dan konteks perjuangan PAS secara menyeluruh.

- Advertisement -

“Untuk memberi pandangan mengenai PAS, seseorang itu perlu terlebih dahulu benar-benar memahami dasar perjuangan PAS,” kata Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan.

Beliau menambah, seseorang itu juga perlu memahami prinsip perjuangan PAS, sejarah panjangnya, serta pencapaiannya yang telah terbukti dan tidak sedikit.

Dr Balachandran menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Presiden MIPP, Punithan Paramsiven berhubung potensi PAS memimpin negara.

Menurut Punithan, PAS mempunyai potensi untuk memimpin negara pada masa hadapan, namun ia bukan dalam masa terdekat.

Katanya, ini kerana rakyat khususnya pengundi bukan Melayu masih belum bersedia menerima PAS sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Sebelum membuat penilaian yang terlalu umum, MIPP wajar memastikan ia benar-benar memahami realiti politik semasa dan konteks perjuangan PAS secara menyeluruh.

“Barulah pandangan yang dikemukakan akan lebih bernilai, berwibawa dan tidak sekadar menjadi ulasan dari pinggiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun, terlebih dahulu mengucapkan terima kasih atas kenyataan Punithan bahawa PAS berpotensi menerajui negara pada masa akan datang.

“Itu satu pengiktirafan yang kami hargai. Namun begitu, sebelum memberi pandangan tentang PAS, eloklah MIPP terlebih dahulu bercermin dan menilai keadaan dalam parti sendiri.

Sehubungan itu, kata beliau lebih baik jika MIPP menumpukan kepada memperkukuhkan kredibiliti serta memahami dinamik dalam komponennya yang nyata masih memerlukan banyak perhatian.

Menurutnya, PAS bukanlah parti baharu yang masih mencari tapak.

Beliau menjelaskan, PAS telah melalui puluhan tahun cabaran politik, membuktikan keupayaan mentadbir dengan baik di peringkat negeri, serta membina asas akar umbi yang teguh.

“Berlandaskan prinsip yang konsisten, PAS terus menunjukkan kemampuan mentadbir dengan integriti dan berkhidmat untuk rakyat tanpa mengorbankan dasar perjuangannya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/9/2025

- Advertisement -