Ahli PAS perlu perkuat jemaah, bantu wakil rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli PAS diingatkan supaya memperkukuh jemaah dan menggembleng tenaga bersama dalam memastikan kemenangan perjuangan Islam, bukannya hanya membebankan wakil rakyat atau kepimpinan parti.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Rasulullah SAW menunjukkan kekuatan umat Islam mampu dicapai apabila bilangan pasukan mencukupi, malah dalam hadis sahih disebutkan tentera Islam tidak boleh dikalahkan jika jumlah mereka 12,000 orang.

“Nabi kata orang Islam kalau ada 12,000 orang bala tentera, pasukan, anggota pasukan cukup untuk mengalahkan musuh. Sekarang ahli PAS sejuta lebih. Nabi kata 12,000. Takkan daripada sejuta lebih ini tak boleh nak cari 12,000?

“Ini peranan jentera-jentera parti. Kena kuatkan parti, kuatkan jemaah,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini kelmarin.

Tuan Guru berkata, kekuatan jamaah tidak boleh digalas oleh PAS Pusat, ketua cawangan, Pesuruhjaya Negeri atau wakil rakyat semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama seluruh ahli.

“Kadang-kadang tak tolong wakil rakyat, bebankan wakil rakyat. Dahlah wakil rakyat itu jadi wakil rakyat, gaji ada gajinya, tapi banyak orang minta sedekah sampai ke rumah.

“Cawangan minta duit wakil rakyat juga, orang parti pun minta wakil rakyat juga, mampus wakil rakyat. Ini perangai ni saya tahu. Masih lagi orang kita ni.

“Patutnya (kita) membantu wakil rakyat. Tolong dia siap kewangan cawangan kita, kawasan kita. Wakil rakyat boleh bantu, bukan tak boleh bantu. Orang luar boleh (wakil rakyat kita) bantulah,” tegurnya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegur sikap segelintir ahli yang menganggap Pesuruhjaya PAS sama seperti Pesuruhjaya British yang mempunyai duit yang banyak.

“Letihlah kawan tu. Jadi kita kena kuat parti kuatkan jemaah barulah kita boleh mencapai kemenangan. (Ini kita pergi) Duduk rembas atas ketua, atas wakil rakyat, atas menteri besar, beratlah. Kadang-kadang orang kritik wakil rakyat, kita pun kritik sama.

“Kawan itu letih, sampai bongkok, kita naik atas belakang pula tambah pula. Ini tak boleh, kita kena bela wakil rakyat kita, kena bela. Kelemahan dia (kita) kena tolong, pemimpin kena (di) tolong,” jelasnya.

Tuan Guru turut mengingatkan, dalam perjuangan ada dalam kalangan ahli yang tidak dikenali ramai, tetapi mendapat ganjaran besar di sisi Allah kerana sabar, istiqamah dan khidmat ikhlas mereka.

“Kadang-kadang Nabi kata ada orang yang Tuhan beri pahala sangat besar, orang tak kenal dia. Kalau dia susah kena duri, dia tak minta tolong orang, dia sabar. Ini sangat besar pahalanya.

“Orang tak dikenali, orang tak berapa kenal dia, nak jumpa pemimpin pun payah, orang tak kenal, tapi khidmat ke parti bukan main,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -