Agama, ideologi ciptaan manusia terbukti gagal

Islam tawar penyelesaian

- Advertisement -

ALOR SETAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan dunia kini sedang berdepan kegagalan agama-agama selain Islam serta ideologi ciptaan manusia sehingga mengundang runtuhnya institusi keluarga dan hilangnya nilai pendidikan.

Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila rumah ibadat semakin berkurangan pengunjungnya termasuk di Eropah yang menyaksikan gereja dijual kepada orang Islam.

“Kemudian ada yang tak ikut, dah tak ada ideologi, tak ada pegangan sama ada ideologi Barat ataupun Timur. Runtuhnya institusi keluarga, memisahkan pendidikan dengan pelajaran. Banyak pelajaran, pendidikan tak ada. Pelajaran banyak sangat, pendidikan tak ada, ini berlaku.

“Islam meletakkan pendidikan fardu ain tiap-tiap orang lepas itu fardu kifayah. Tidak memisahkan pendidikan dengan pelajaran. Pendidikan ialah untuk mengubah peribadi perangai manusia, pelajaran ini ilmu untuk mengurus dunia. Hari ini duk belajar ilmu saja, belajar ilmu. Pendidikan tak ada,” ujarnya.

Tuan Guru berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, di sini kelmarin.

Menurutnya, umat Islam juga berdepan cabaran akibat terpengaruh dengan pengaruh Barat sebagaimana disebut Ibnu Mas’ud bahawa akhir zaman menyaksikan ramai ulama namun sedikit yang benar-benar tafaqquh fiddin.

“Orang alim banyak tapi tak tafaqquh fiddin. Tidak memahami melaksanakan Islam, ini berlaku. Akan banyak orang-orang yang tidak amanah. Ini berlaku di akhir zaman,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyentuh keruntuhan akhlak manusia sehingga terjebak dengan lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) yang dianggap lebih teruk daripada binatang.

Menurut bekas Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia itu, kegagalan keluarga mendidik anak-anak berlaku apabila kedua ibu bapa sibuk bekerja hingga tiada masa menjaga anak.

“(Peranan) Wanita di sana ada. sebab itu dalam Islam keadilan bukannya persamaan. Tak ada persamaan. Persamaan lelaki perempuan tak ada. Keadilan ada.

“Persamaan ini kerana ada perkara yang orang perempuan boleh buat, ada perkara lelaki boleh buat, ada perkara yang lelaki perempuan sama-sama boleh buat.

“Contoh menyusu anak dengan susu ibu, Tuhan tak buat orang lelaki menyusu juga. Jadi ada masa wanita mesti rapat dengan anak-anak untuk tarbiah untuk pendidikan. Jangan jejas sekali-kali,” nasihatnya.

Tuan Guru menegaskan konsep keadilan dalam Islam meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya persamaan membuta tuli sebagaimana diamalkan Barat.

“Keadilan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya kita kena faham. Persamaan tak ada, yang adanya keadilan. Kerana fitrah lelaki, fitrah wanita ada yang berbeza ada yang sama, itu kena faham. Ini konsep Islam.

“Orang Barat dia nak sama semua, kita pun ikut macam dia juga. Akhirnya berlakulah anak-anak meninggalkan ibu bapa sehingga ibu bapa, anjing (yang) jaga. Anak-anak lari tak ada, ni dalam berita akhbar media.

“Anjing jaga ibu bapa dia, anak tak tahu pergi ke mana. Terpaksa buat rumah orang tua, rumah anak yatim. Dalam Islam waris dia jaga, jiran dia jaga, keluarga dia jaga. Ini berlaku masa Islam. Tanggungjawab masyarakat. Ini.

“Itu kita kena faham. Jadi gagal semua ideologi gagal. Ekonomi baik politik baik dan sebagainya gagal dan berlakulah orang nak pada Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -