Kenali pimpinan yang dipilih perwakilan Muktamar PAS ke-71

Bergerak ke Putrajaya!

- Advertisement -

TIRAI Muktamar kali ke-71 telah ditutup dengan berpelangi, indahnya momen pertemuan tahunan harakatul ummah ini. Muktamar tahun ini berkembar dengan pemilihan saf kepimpinan untuk sesi 2025-2027. Parti Islam Se-Malaysia kali ini membariskan calon-calon pelbagai latar belakang untuk menggerakkan nakhoda kepimpinan PAS di zaman massa menuntut PAS memimpin di Putrajaya. PAS diratib namanya oleh kawan dan musuh atas apa jua alasan, menunjukkan harakatul ummah ini sangat relevan dengan tuntutan zaman.

Ustaz Fadhli Saari ialah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Mantan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) yang mendapat pendidikan di Mesir, memperolehi ijazah MBA daripada UNITAR pada tahun 2021. Sedang berjuang untuk menyiapkan ijazah PhD dalam bidang Ekonomi di sebuah kampus universiti tempatan.

Menteri Besar Kedah semenjak Mei 2020, Dato’ Seri Sanusi Mohd Nor, seorang pemimpin serba boleh PAS yang popular. Kerajaan Kedah dipacunya menjadi pesat dengan kemasukan pelaburan luar. Beliau lulusan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang adalah ADUN Jeneri Kedah, mantan Setpol Almarhum Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada tahun 2008. Lelaki beristeri dua ini juga aktif dalam gerak kerja dan misi bantuan antarabangsa serta disifatkan sebagai ikon gelombang hijau 2023 negara ini.

Mantan Professor Pengurusan Strategik di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berkarisma tinggi, Dr Haim Hilman anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini mendapat pendidikan tinggi di kampus Portsmouth, England, juga ijazah MBA daripada kampus yang sama seterusnya berdoktorat daripada kampus UUM (anugerah tesis terbaik). Dr Haim adalah Exco Industri dan Pelaburan kerajaan Kedah, ADUN Jitra Kedah serta kerjaya akademik terakhirnya ialah sebagai Naib Canselor UUM.

- Advertisement -

Dr Khalil Abdul Hadi, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Exco Penerangan, Pelaksanaan Syariah Negeri Terengganu. Anak butir Presiden PAS ini adalah ADUN Batu Buruk yang mendapat pendidikan di Pakistan, Yaman, United Kingdom dan UNISZA, Terengganu.  Suami kepada Dr Farhana Hasbullah ini juga adalah penggerak Muslim Ummah International Forum (MUNIF). Beliau mengikuti misi ‘Food Flotilla For Myanmar’ pada Februari 2017.

Mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang popular, Dato’ Siti Zailah Yusuf, seorang tokoh muslimah yang semenjak muda bergulat di medan jamaah. Alumni UiTM dan juga mendapat pendidikan pondok, wanita besi ini terkenal kerana reputasinya membantu rakyat di Kelantan. Beliau adalah mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita di zaman kerajaan Perikatan Nasional.

Timbalan Menteri Besar kerajaan Kelantan iaitu Dato’ Dr Fadzli Hassan, bekas pensyarah kanan UIAM, lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham, United Kingdom dalam kajian Pengislaman Undang-undang Perlembagaan. Beliau merupakan anakanda kepada Almarhum Ustaz Hasan Kaabah yang juga pemimpin PAS Kelantan.

Dato’ Ar Iskandar Abdul Samad, alumni Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang membesar di Lembah Klang. Beliau belajar Senibina di Universiti Humberside, United Kingdom. Semenjak usia muda membangunkan kerja jamaah di kawasan Ampang dan Pandan. Mantan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerajaan Selangor selama dua penggal. Iskandar juga penggerak NGO yang cukup rapat dengan isu-isu rakyat jembel kota raya.

Anak tuan guru pondok yang terkenal di Pasir Mas, Dato’ Panglima Perang Ustaz Nasaruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al Azhar merupakan mantan Exco Kerajaan Kelantan portfolio Penerangan, Agama dan Seranta yang juga dijoloki sebagai ‘Singa PAS’. Tokoh agama ini popular dengan kuliah dan ceramah yang berapi dan menarik pendengar di zaman mudanya.

Berdarah keturunan Cina serta aktivis tegar Yayasan Amal Malaysia, Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi, Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania,  mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart, Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor dan mantan ADUN Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM. Dr Halimah kini adalah Ahli Parlimen Kapar, Selangor yang energetik.

Exco Pertanian kerajaan Terengganu yang juga ADUN Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim adalah anak kelahiran Besut, Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad, Iraq, seterusnya berkhidmat dengan hospital kerajaan sebelum mempunyai kliniknya sendiri di Kubang Kerian, Kelantan. Dr Azman juga adalah pengasas kumpulan penulis dan wartawan yang dikenali sebagai KAMI.

Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim anak jati Tambun Tulang, Arau Perlis, mantan Menteri Wilayah dan pelbagai jawatan penting dalam pentadbiran nasional. Figura politik ini adalah mantan Menteri Besar Perlis selama tiga penggal. Watak yang berpengaruh ini selama puluhan tahun menjadi pimpinan Umno. Alumni kampus Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi dan Sejarah, juga melanjutkan pendidikan tinggi pasca siswazah di Belanda.

Datuk Awang Hashim anak Pendang yang membesar dengan kehijauan sawah padi. Mantan Timbalan Menteri era kerajaan Perikatan Nasional ini aktif dalam jamaah semenjak zaman kepemudaannya. Bekas Setiausaha DPP Kedah ini adalah lulusan ijazah Sains Pengurusan Kewangan USM, Pulau Pinang.

Datuk Dr Marzuk Shaari ialah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. Mantan Timbalan Menteri Agama ini adalah graduan kampus Jordan serta berdoktorat daripada Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam. Anak kelahiran Kelantan ini juga mantan Ahli Parlimen Bachok juga penggerak misi-misi bantuan dalam negara melalui Khidmat Malaysia.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi pertama kali dipilih oleh perwakilan sebagai AJK PAS Pusat. Bekas pelajar terbaik SPM Kelantan ini juga adalah graduan cemerlang AIKOL UIAM. Beliau aktif dalam jamaah kampus serta mantan ADUN Demit, juga pernah dilantik dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan. Dengan pakej kompetensi yang baik, sosok penting muslimah ini juga terlibat dalam pelbagai gerakan swadaya di Kelantan dan juga di peringkat nasional.

Mantan Ketua DPPM, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Dewan Negara yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia  ialah satu-satunya anak Almarhum Tuan Guru Dato’ Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terlibat secara aktif dalam PAS di peringkat nasional. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Deoband, India, seterusnya ke Universiti al Azhar Mesir.

Penulis kepilkan sekali biodata ringkas Naib-naib Presiden PAS yang mempunyai latar belakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak zaman remaja mereka.

Mantan Menteri Agama ini adalah anak seorang ulama terkenal negeri Perak. Dato’ Ustaz Idris Ahmad bekas seorang pensyarah kanan UiTM, johan pidato peringkat kebangsaan semasa belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus, mendapat ijazah pertama dan MA daripada UKM. Ustaz Idris Ahmad pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi 2013-2018 dan kini Ahli Parlimen Bagan Serai semenjak November 2022. Beliau memimpin Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS dengan berkesan dengan penyusunan kurikulum yang sistematik.

Sosok PAS berketurunan ningrat ini ialah Speaker DUN Kelantan yang juga ADUN Panchor, Dato’ Seri Amar Mohd Amar Nik Abdullah, bekas ketua pelajar Maahad Muhammadi, Kelantan. Berwatak sederhana dan mudah didekati, mewarisi darah ulama terkenal tanah air kita, iaitu Tok Ayah Kedah. Figura yang juga mahir dengan ilmu persilatan ini juga adalah anakanda kepada tokoh PAS Kelantan yang tersohor, Ustaz Nik Abdullah Arshad. Beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham, United Kingdom. Mohd Amar adalah mantan pensyarah kanan UIAM  Gombak.

Anak Jerteh yang kini Naib Presiden PAS paling muda, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu, negeri paling bahagia di Malaysia! Mantan Setpol Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini ialah pakar aero angkasa Malaysia, mendapat pendidikan tinggi di UKM dan berdoktorat daripada Universiti Leeds, United Kingdom. Dr Sam ialah ADUN Rhu Rendang, Terengganu serta Ahli Parlimen Kemaman.

Bergerak ke gerbang jasa, menapak ke Putrajaya!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
ADUN Jerteh
Berdoktorat daripada UKM – HARAKAHDAILY 17/9/2025

- Advertisement -