
HULU TERENGGANU: Seramai 192 pasangan pengantin di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan dari daerah Hulu Terengganu, diraikan pada program Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Terengganu 2025, semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada semua pasangan pengantin serta ahli keluarga yang hadir memeriahkan program tahunan itu.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat bersama dalam program Walimatul Urus Perdana di Hulu Terengganu yang diadakan serentak di seluruh daerah di negeri ini.
“Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengantin baru. Tahniah kepada para ibu bapa pengantin, ahli-ahli keluarga dan semua pihak yang menjayakan program pada hari ini.
“Kalau Kita tengok pasangan pengantin sebelum akad nikah pagi tadi mungkin kita nampak raut wajah yang berdebar-debar. Kalau kita tanya dia kata debo boh.
“Lepas selesai belake doh, masuk dalam dewan ini kita dapat tengok senyum simpul belaka hok laki, hok puan pasangan pengantin senyum.
“Kalau kita ambik masa seminggu lagi kita tanya dia pulok guane kehidupan baru? Pada waktu itu saya rasa jawapan dia kalau tahu gini, setahun doh nikah,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan fitrah manusia yang menjadi ikatan diberkati Allah SWT dalam membina rumah tangga muslim.
“Perjalanan hidup berumah tangga adalah suatu amanah yang besar, yang memerlukan kesabaran, persefahaman, toleransi, dan kasih sayang yang berterusan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan bacaan pantun sebelum Ahmad Samsuri merasmikan program berkenaan.
Ke Hulu Terengganumembeli tepung,
Untuk dibuat kuih bahulu,
Hari ini kita berkampung,
Meraikan Mempelai Pengantin Baru.
Ikan tenggiri di tengah lautan,
Pergi memukat bersama nakhoda;
Suami isteri saling meraikan,
Bahagia hidup kekal selamanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2025











