
MUQADDIMAH
Dewan Ulamak PAS Perak mengecam mana-mana tindakan merampas hak orang lain secara sewenang-wenangnya, sama ada melalui saluran perundangan yang berat sebelah, atau melalui kaedah ‘bawah meja’, atau apa jua kaedah yang menyalahi syara’.
Hukum asal mengambil (merampas) tanah yang bergeran, dimiliki, dan digunakan, walau apa jua cara sekalipun, tidak ada takwilan yang boleh menghalalkannya. Termasuk juga akal yang sihat tidak dapat menerima perkara tersebut sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia cuma dibenarkan oleh orang Barat yang berkiblatkan Falsafah Liberal, yang akhirnya berkembang menjadi Imperialisme.
Falsafah liberalisme dan hak pemilikan tanah
Menurut Falsafah John Locke yang dikenali sebagai Bapa Liberalisme Moden, pemilikan tanah bukanlah ditetapkan melalui undang-undang, atau politik, sebaliknya ia ditentukan oleh usaha dan tenaga seseorang yang dicurahkan pada tanah tersebut.
Namun, idea liberalisme tidak terhenti secara harmoni pada sempadan itu. Ia berkembang menjadi modal keghairahan para imperialis untuk menguasai tanah-tanah orang lain. Mana-mana tanah yang dianggap tidak mencapai tahap kemajuan mengikut ketetapan mereka, akan dianggap sebagai tanah kosong yang boleh dirampas untuk dimajukan. Hal ini terjadi di beberapa buat tempat seperti di Amerika Utara, Afrika dan Australia.
Contohnya tanah di kawasan bandar yang dimiliki, tetapi pemiliknya hanya menggunakan tanah itu untuk pertanian. Maka, imperialis yang berfikiran liberalisme, menganggap ia boleh dirampas, dan dibangunkan agar mengeluarkan hasil yang lebih lumayan, tanpa perlu mengambil kira hak pemilik yang asal.
Perkara ini menjadi celaru apabila para imperialis meletakkan piawaian yang tinggi terhadap kemajuan dan perusahaan tanah. Menjadikan tanah-tanah yang diusahakan oleh rakyat marhaen seolah-olah berhak dirampas oleh mereka, kerana tidak mencapai standard piawaian kemajuan tanah.
Idea kebebasan yang melahirkan imperialis
Perkara ini menggambarkan perspektif berbeza antara mata para taukey atau imperialis, dan mata rakyat marhaen atau pribumi. Pribumi kebiasaannya menggunakan tanah untuk kegunaan komuniti. Manakala para tauke atau imperialis melihatnya sebagai peluang untuk menjana duit yang lebih menguntungkan.
Justeru, perspektif imperialis yang dipedomankan oleh John Locke menganggap kebebasan itu adalah bebas meneroka tanah sesiapa pun, sekalipun ia sudah dimiliki. Atas alasan untuk memajukan tanah tersebut kononnya. Berpunca daripada titik ini, terjadilah pencerobohan orang Barat yang ke atas Tanah Red Indian dan menubuhkan Negara Amerika di situ sehingga saat ini.
Apabila sesebuah negara diperintah secara liberal, sudah pasti akan wujudnya pelanggaran hak, khususnya dalam isu pemilikan tanah. Ini kerana ‘batas’ liberalisme itu tidak di sempadan secara tepat, bahkan digariskan secara semberono mengikut idea idea tokoh mereka.
Mereka yang terpengaruh dengan liberalisme, akan gigih mentakwil mana mana tindakan merampas hak orang lain sebagai usaha murni seperti pembangunan, kemajuan dan sebagainya. Pembangunan dilihat sebagai satu kemodenan, sekalipun meningkatkan kos hidup, membebankan rakyat marhaen. Ia menggambarkan seolah olah kemodenan dan kemewahan hanya boleh dinikmati oleh golongan Kapitalis.
Disiplin Islam terhadap harta orang lain
Di dalam Islam, kaedah Fiqh menyebut
الأصل في مال الغير التحريم
Asal hukum kepada harta orang lain adalah haram.
Sistem Islam menegah mana-mana usaha merampas hak atau harta orang lain, selagi mana tiada dalil yang mengharuskannya. Contohnya, Islam menyuruh pembunuh tidak sengaja untuk membayar pampasan kepada keluar si mati, kerana terdapatnya dalil yang menyuruh perkara tersebut.
Dalam isu Sungai Baru, selagi mana tiada kebenaran syara’, sekalipun dikhabarkan pemaju telah menawarkan pelbagai tawaran, namun tidak dibenarkan untuk memaksa pemilik asal untuk menerima tawaran tersebut. Ia adalah hak tuan asal, sama ada nak menerima tawaran, atau tidak.
Bahkan di dalam Maqasid Syariah meletakkan matlamat pensyariatan adalah حفظ المال . Iaitu Islam menjamin keselamatan harta individu. Ia jelas berbeza dengan kerangka pemikiran yang distrukturkan oleh liberalisme, yang dilihat lebih menguntungkan pihak taukey atau imperialis.
Undang-undang dipinda untuk menjaga hak
Undang-undang yang dibuat oleh manusia, asalnya untuk membina kemakmuran. Undang-undang yang dibuat oleh tangan manusia boleh sahaja tersilap. Maka, ia perlu diperbetulkan, dikemaskini, agar memelihara hak masyarakat serta mengekalkan kemakmuran. Undang-undang yang salah, tidak wajar dipertahan, apatah lagi dituruti secara membuta tuli.
Dalam hal ini, kita perlu sedar, liberalisme tidak menjamin keselamatan harta individu. Takrifan ‘membangunkan tanah’ di sisi mereka, dihuraikan secara bebas tanpa sempadan. Menjadikan para imperialis berkuasa untuk merampas tanah orang lain, atas alasan untuk memajukan tanah tersebut.
Ia berbeza dengan Islam. Islam membina kerangka pemikiran supaya menghormati hak dan harta orang lain, melainkan dengan kebenaran syara’. Contohnya zakat (cukai Islam), wajib dibayar oleh setiap individu muslim yang berkemampuan. Bahkan, kerajaan diwajibkan mengutip zakat daripada mereka.
Dalam hal zakat, pengambilan harta dengan cara itu memang dibenarkan syara’ kerana terdapat dalil yang menetapkannya. Hal ini berbeza dengan kerangka liberalisme yang sewenang-wenangnya mengambil hak orang atas alasan yang tidak munasabah.
Kemunasabahan itu mestilah berpandukan dalil, bukan sewenang-wenangnya ditetapkan oleh mana-mana tauke dan imperialis, yang mempunyai perspektif yang berbeza dengan rakyat marhaen.
Justeru, Islam memperkenalkan sistem yang mendidik manusia agar hidup secara teratur. Tidak terlalu bebas sehingga menjadi liar, dan tidak terlalu mengikat sehingga mengongkong.
USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Pensyarah Fakulti Usuluddin, Al-Quran dan Sunnah,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) – HARAKAHDAILY 13/9/2025











