Tahniah, Terengganu terus melangkah gagah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mencapai kejayaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuktikan kemampuan PAS dalam mentadbir negeri dan menguruskan syarikat milik kerajaan dengan baik

- Advertisement -

Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI), syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri, telah mengumumkan keputusan kewangan tahun 2024 dengan mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.75 bilion.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat itu menegaskan, pencapaian ini menutup mulut pihak yang sering memperlekeh kemampuan PAS mengurus negeri dan GLC dengan baik.

“Kalau nak dibandingkan dengan sebelum PAS mentadbir negeri, hasil TI tidak pernah pun capai RM1 bilion. Kali pertama pecah rekod RM1 bilion adalah pada tahun 2020, dan pada 2024 sekali lagi rekod tertinggi dicapai dengan hasil RM1.75 bilion,” tulis beliau.

Berdasarkan catatan Nurul Islam di media sosial miliknya itu, pada tahun 2018 keuntungan sebelum cukai TI mencatatkan kerugian RM46 juta.

“Namun selepas perancangan rapi dan strategi yang teliti, syarikat kembali bangkit sehingga berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM81.7 juta pada tahun 2024, iaitu yang tertinggi setakat ini,” ujarnya.

Beliau turut memetik prestasi anak-anak syarikat utama TI seperti TDM Berhad yang berjaya merekodkan keuntungan lima tahun berturut-turut dengan hasil RM645 juta dan keuntungan RM10.2 juta pada tahun 2024.

“Sumbangan utama datang daripada sektor perladangan sebanyak RM291.2 juta serta penjagaan kesihatan RM354.4 juta,” bentang beliau terhadap antara pencapaian itu.

Menurutnya lagi, EPIC Berhad pula mencatatkan hasil RM403.8 juta berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai meningkat tiga kali ganda kepada RM28.4 juta.

Selain itu katanya, TI juga menyalurkan sebanyak RM12.02 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun 2024 bagi memastikan hasil negeri dapat dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Tahniah kepada YAB Menteri Besar selaku Pengerusi Terengganu Incorporated, pengurusan syarikat serta seluruh anak syarikat atas kejayaan besar ini. Terengganu terus melangkah gagah demi mencapai hasrat Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera,” tulis beliau. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -